KOTA TINGGI: Tourism Malaysia menyasarkan
seramai 27.3 juta kedatangan pelancong asing ke negara ini pada tahun depan.
Pengarah Pelancongan Malaysia Bahagian Promosi
Antarabangsa (ASEAN) Mohd. Shahrir Mohd. Ali berkata, jumlah berkenaan
dijangka lebih 65 peratus terdiri daripada pelancong dari negara ASEAN.
Menurutnya, selepas pandemik Covid-19,
pelancong dari negara ASEAN, terutamanya negara jiran merekodkan jumlah yang
tinggi berkunjung ke negara ini.
“Sasaran kita tahun depan untuk keseluruhan
seramai 27.33 juta pelancong dengan pelancong dari ASEAN menyumbang kedatangan
antara 65 hingga 70 peratus daripada jumlah itu.
“Lepas Covid-19 memang ramai pelancong dari
negara ASEAN disebabkan kekerapan penerbangan yang banyak dari negara mereka
dan dijangka tahun depan lebih banyak kekerapan penerbangan bukan sahaja dari
negara ASEAN, malah dari China, Eropah dan Jepun yang akan masuk.
“Dari Januari hingga Julai lalu, kita
merekodkan seramai 8.1 juta pelancong dari negara ASEAN, dengan paling ramai
adalah dari negara jiran seperti Singapura dan Thailand,” katanya ketika
ditemui Utusan Malaysia sempena Lawatan Teknikal Seminar Pelancongan Kebangsaan
Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT) 2023 di Desaru Fruit Farm,
Bandar Penawar, di sini.
Lawatan yang melibatkan seramai 150 peserta
itu bertujuan untuk memperlihatkan tentang produk pelancongan sedia ada yang
sudah popular supaya dapat dipraktik di tempat masing-masing serta memberi pendedahan tentang produk yang mungkin
boleh dibangunkan dan boleh dibaiki mutunya.
“Adakalanya sesuatu produk pelancongan itu
bagus untuk dipasarkan ke luar negeri tetapi tiada penyelenggaraan yang bagus
dan sebagainya. Jadi, tidak boleh dipasarkan ke luar negara. Tourism Malaysia sering ditanya apa produk
baharu dan kita memang ada banyak produk baharu dalam masa sama produk sedia
ada perlu diperbaiki bila kita tukar, ubah akan jadi produk baharu.
“Jadi, harapan kita menerusi lawatan ini semua pihak terlibat
seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), kerajaan negeri dan pemilik produk
supaya lihat dan ubah produk mereka seperti Desaru ini yang kita jadikan sampel
dalam lawatan yang dahulu lain tetapi sekarang ada pembaharuan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.