Thursday, 16 October 2025

⁠ Pemenang Malaysia Photo Hunt 2025 Dirai Dalam Majlis Penyampaian Hadiah Rasmi

 

KUALA LUMPUR, 3 Oktober 2025 – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui Tourism Malaysia hari ini telah menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Malaysia Photo Hunt 2025, sebuah inisiatif program yang bertujuan mempergiatkan usaha mempromosikan pelancongan negara melalui medium fotografi dan video. 

Pertandingan yang berlangsung dari 1 Jun hingga 31 Ogos 2025 ini menerima penyertaan sebanyak 2,310 foto dan 121 video berdurasi antara 30 hingga 60 saat bertemakan “Surreal Experiences”.

Pertandingan ini terbuka kepada rakyat Malaysia, pemastautin asing, dan pelawat antarabangsa di mana setiap penyertaan perlu disertakan bersama salinan resit seperti penginapan di premis berdaftar dan berlesen, pembelian tiket ke tarikan pelancongan atau tempahan tiket pengangkutan domestik sebagai bukti aktiviti melancong telah dilakukan. 

Majlis yang berlangsung di Balai Seni Negara menyaksikan 4 Hadiah Utama berupa pakej percutian mewah 4 hari 3 malam untuk 4 orang bagi setiap satu kategori telah disampaikan kepada para pemenang oleh YBrs. En Lee Thai Hung, Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II) Tourism Malaysia yang mewakili Ketua Pengarah Tourism Malaysia.

Senarai pemenang adalah seperti berikut :- 

Mohd Nazri Sulaiman memenangi Hadiah Utama Kategori Kamera – Foto;

Toh Jern Yoong memenangi Hadiah Utama Kamera – Video;

Kelvin Pudun Denis memenangi Hadiah Utama Kategori Telefon Pintar – Foto; dan

Mrutyaunjai Sanjay Parab memenangi Hadiah Utama Kategori Telefon Pintar - Video.

Semua pemenang dinilai dan dipilih oleh barisan panel hakim profesional. 

Dalam majlis berkenaan juga, Tourism Malaysia serta Perodua Malaysia dan rakan kerjasama strategik iaitu Canon, Sony, Samsung, OPPO dan Huawei turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertama, kedua dan ketiga untuk setiap kategori dan sub kategori masing-masing. Jumlah keseluruhan hadiah yang ditawarkan bagi pertandingan ini mencecah RM400,000. 

Selain itu, Perodua Malaysia, Batik Air, Sabah Tourism Board, Tourism Melaka, Tourism Johor, Langkawi Development Authority (LADA), Penang Global Tourism, Sarawak Forestry Corporation, PULSE Group, KL Tower, The Waterfront Hotel Kuching, A’Famosa Resort, dan Yeos Malaysia Sdn. Bhd., turut terlibat dalam menjayakan pertandingan ini sebagai rakan penaja. 

Malaysia Photo Hunt 2025 membuktikan bahawa seni visual mampu menjadi pemangkin kepada pelancongan negara. Inisiatif seperti ini bukan sahaja menggalakkan pelancongan domestik dan antarabangsa, malah mengangkat bakat seni visual tempatan ke peringkat yang lebih tinggi.

-Tourism Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.