Wednesday, 22 October 2025

1.3 bilion capaian digital promosi Malaysia

 

PETALING JAYA: Penyertaan lebih 100 pempengaruh dan pencipta kandungan dari 19 negara pada All Star Influencers Award (ASIA) 2025 di Kuala Lumpur, Ahad lalu, menjadi pemangkin kepada usaha kerajaan dalam menarik pelancong luar menerusi inisiatif mempromosikan negara secara digital selari dengan kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026. 

Sejak beberapa bulan lalu, pempengaruh termasuk dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, Singapura, Vietnam, India, Pakistan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Mesir, Jordan dan beberapa lagi menjelajah ke pelbagai destinasi pelancongan utama di seluruh negara, seperti Melaka, Sabah, Pulau Pinang, Kedah, Johor dan Sabah. 

Inisiatif ini dilihat cukup strategik dalam memperkenalkan khazanah dan budaya negara di mata dunia melalui sebaran kandungan dalam talian dengan pelbagai cara serta kreativiti. 

Melalui aktiviti penciptaan kandungan kreatif dan pelbagai cabaran digital, pempengaruh terbabit berjaya membawa lebih 1.3 bilion capaian digital tontonan di pelbagai platform media sosial, mengatasi rekod tahun lalu sebanyak 518 juta tontonan.

Penganjur ASIA 2025, Datuk Abd Rahman Soltan, berkata acara ini menjadi menjadi platform menggabungkan dunia digital dan pelancongan secara unik, sekali gus membuka peluang kepada bakat pempengaruh dari seluruh Asia dan Asia Barat untuk memperkenalkan keunikan Malaysia kepada global. 

"Lebih 1.3 bilion capaian digital tontonan membuktikan bahawa gabungan kreativiti digital dan promosi pelancongan mampu mencipta impak besar dalam memperluaskan jangkauan serta meningkatkan kesedaran terhadap destinasi dan budaya kita. 

"Ini menunjukkan gabungan kreativiti, teknologi dan sokongan bersepadu, kita boleh membawa Malaysia ke persada dunia digital dengan lebih berkesan. Kami percaya bahawa pengaruh digital kini memainkan peranan penting dalam membentuk imej negara dan membuka peluang baharu dalam industri pelancongan.

"Kami mahu ASIA 2025 menjadi ruang bagi pencipta kandungan untuk mengasah bakat, berkongsi inspirasi dan bersama-sama memajukan industri digital dan pelancongan di rantau ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas pengumuman pemenang pada malam kemuncak ASIA 2025 di sini, Ahad lalu. 

Abd Rahman berkata, inisiatif diambil untuk menarik pelancong luar ke Malaysia melalui jalan media sosial dilihat sebagai langkah strategik memandangkan platform maya itu sedang menjadi tumpuan seluruh dunia ketika ini. 

"Tujuan kami memang untuk mempromosikan industri pelancongan di Malaysia. Jadi, saya fikir pintu utama negara ini penting supaya ramai pelancong dari luar negara nampak Malaysia. 

"Kalau kita tidak menggunakan produk sedia ada seperti media sosial yang paling disukai ramai buat masa ini, saya rasa itu suatu kerugian. Jadi, saya mengambil satu langkah untuk menggabungkan pempengaruh dari seluruh dunia. 

"Melalui acara ini, mereka ke Malaysia supaya dapat berkumpul dan menyediakan pelbagai kandungan berbeza dalam negara kita. Ini satu cara promosi yang agak berbeza," katanya yang turut menyasarkan penyertaan dari 30 negara untuk edisi akan datang. 

Malam kemuncak ASIA 2025 menyaksikan pelakon dan pempengaruh media sosial terkenal dari Vietnam, Cindy mengungguli anugerah utama, iaitu Pempengaruh Terbaik dengan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai AS$15,000 (RM63,360), trofi dan tiket penerbangan ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE). 

Cindy atau nama sebenar, Huỳnh Thị Diễm Mi, 24, berkata dia sama sekali tidak menjangka mampu merangkul kemenangan utama. 

"Saya tidak menjangka kemenangan ini. Terima kasih kepada semua pihak yang sudah memilih saya. Wang kemenangan ini saya akan manfaatkan untuk kegunaan keluarga terlebih dahulu," katanya. 

Cindy yang turut membawa pulang trofi Pencerita Terbaik pada malam kemuncak ASIA 2025 berkata, dia terbuka untuk bekerjasama dengan produksi di Malaysia. 

"Kalau ada tawaran dan sekiranya saya diberi peluang berlakon di Malaysia, saya sedia belajar Bahasa Melayu," katanya. 

Tempat kedua dirangkul pempengaruh dari Indonesia, Sheren Natalia yang membawa pulang trofi, wang tunai AS$15,000 (RM21,120) dan percutian ke Dubai. 

Pempengaruh Kemboja, Rainne Dara menduduki tempat ketiga dan membawa pulang wang tunia AS$3,000 (RM12,672) dan tiket penerbangan sama. 

Trofi bagi kategori Kulinari Terbaik menjadi milik pencipta kandungan dari Thailand, Pep Kemika yang tampil dengan video mencari makanan di Johor dan Pahang. 

Kategori Suntingan Terbaik dimenangi pempengarug Filipina, Herony yang banyak menghasilkan video dengan 'transition' berkualiti. 

Program jelajah ini bermula di Johor dan Pahang, Julai lalu, disusuli Melaka dan Selangor, Ogos lalu diikuti Pulau Pinang dan Langkawi, September lalu dan berakhir di Sabah pada pertengahan bulan ini. 

Program berskala besar ini mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Tourism Malaysia. 

MOTAC bertindak sebagai rakan strategik utama dalam mempromosikan kempen TMM 2026 serta mengangkat industri pelancongan digital negara ke pentas antarabangsa.

-berita harian online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.