Saturday, 11 October 2025

RM50 juta geran padanan galak penerbangan antarabangsa ke Malaysia

 

PUTRAJAYA: Peruntukan RM50 juta dalam bentuk geran padanan bagi menggalakkan penerbangan antarabangsa dan penerbangan sewa khas ke Malaysia dijangka memperkukuh keterhubungan global serta menarik lebih ramai pelancong ke negara ini. 

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Datuk Mohd Izani Ghani berkata pihaknya mengalu-alukan tumpuan berterusan kerajaan terhadap pembangunan infrastruktur dan peningkatan keterhubungan udara di bawah Belanjawan 2026. 

Beliau berkata, pelaksanaan kemudahan Pemindahan Antara Terminal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta naik taraf lapangan terbang di Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Tawau dan Miri akan memperkukuh kesiapsiagaan rangkaian lapangan terbang Malaysia menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026. 

"Penambahbaikan di Lapangan Terbang Berlepas dan Mendarat Jarak Pendek (STOLport) seperti di Marudi dan Redang turut memperkukuh rangkaian penerbangan domestik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut memuji sokongan kerajaan terhadap pembangunan Selangor Aero Park (SAP) sebagai hab logistik serantau serta pengaktifan semula Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah sebagai hab industri aeroangkasa. Langkah itu katanya, akan mempercepat pertumbuhan ekosistem penerbangan dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab udara utama di rantau ini.  

Mohd Izani berkata sejak penswastaan MAHB, syarikat menumpukan kepada tiga teras strategik iaitu perkhidmatan, pertumbuhan dan kapasiti. Naik taraf Lapangan Terbang Ipoh telah meningkatkan kapasiti kepada 700,000 penumpang setahun, manakala pengembangan Lapangan Terbang Kota Bharu dijadual siap pada 2026 dengan kapasiti empat juta penumpang setahun.

"Sepuluh syarikat penerbangan baharu turut menyertai pasaran tempatan, mencerminkan keyakinan terhadap Malaysia sebagai hab penerbangan utama serantau," katanya. 

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat berkata, pemerkasaan MAHB akan membuka ruang pelaburan lebih besar dan memperkukuh kecekapan pengurusan lapangan terbang negara. 

Menurutnya, sebanyak RM2.3 bilion dilaburkan bagi pembangunan lapangan terbang di Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Tawau dan Miri yang dijangka siap pada 2028, manakala projek menaik taraf STOLport di Marudi dan Redang dijangka siap pada 2027. 

Kemudahan Pemindahan Antara Terminal antara KLIA Terminal 1 dan Terminal 2 juga bakal dilaksanakan bagi mempertingkat keselesaan dan keterhubungan penumpang. 

Anwar berkata, pembangunan SAP di Sepang seluas 242.8 hektar akan memperkukuh ekosistem penerbangan negara dan menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi ke Malaysia.

-berita harian online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.