Friday, 31 October 2025

DBKL lancar 'Calendar of Events' perkukuh promosi Tahun Melawat Malaysia 2026

 

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melancarkan 'Calendar of Events' (COE) Kuala Lumpur 2026 sebagai manifestasi komitmen berterusan memperkukuh kedudukan ibu negara sebagai hab pelancongan utama serantau menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026). 

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif, berkata program itu untuk memperkukuh promosi dan pengisian pelancongan bandar raya, seiring dengan aspirasi nasional untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai destinasi pilihan utama sempena TMM2026. 

Beliau berkata, kalendar itu menghimpunkan pelbagai program dan aktiviti pelancongan, kebudayaan, kesenian, sukan dan rekreasi sepanjang tahun yang memperlihatkan keunikan serta kepelbagaian Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia. 

"Antara program utama yang disenaraikan dalam COE termasuk Kuala Lumpur Car Free Morning (KLCFM), KUL Fit, KL Street Jam, Santai Seni @ TAR, KL Cultural Nitez, KL Chamber Concert, Karnival KUL Vibes, Festival Orkestra Kuala Lumpur (FOKL).

"Selain itu, pihak kami juga mengadakan KL Park Festival (KLPF), Pesta Teater Kuala Lumpur (PTKL) dan Sambutan Ambang Merdeka dan Ambang Tahun Baharu 202.

"Kesemua program berkenaan bertujuan memperkukuh imej Kuala Lumpur sebagai bandar raya yang sentiasa hidup dengan aktiviti sepanjang tahun, sekali gus menjadi pemacu utama sektor pelancongan negara menjelang TMM2026," katanya.

Maimunah berkata, pihaknya menyasarkan 46 juta pelancong domestik dan antarabangsa sempena TMM2026. 

Selain itu, DBKL turut memperkenalkan beberapa inisiatif baharu berteraskan komuniti, antaranya Program Muzik Komuniti Bersama Warga Emas, Gema Tradisi Nuansa, dan KL River Soul, bagi menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti seni, budaya dan sosial. 

"Program KL Cultural Nitez diteruskan melalui kolaborasi bersama Think City, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) serta Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). 

"Kolaborasi itu menampilkan persembahan teater tradisional Melayu seperti Randai, Mek Mulung, Mak Yong dan Menora. 

"Bas dua tingkat berkonsep terbuka dilengkapi sistem komen pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) dalam lebih 20 bahasa, termasuk Bahasa Melayu, Mandarin, Jepun, Arab, Korea dan Sepanyol. 

"Bas berkenaan turut menyediakan Wi-Fi yang berkelajuan tinggi 4G/5G, selain sistem keselamatan moden dilengkapi liputan CCTV definisi tinggi serta perlindungan insurans penumpang menyeluruh," katanya. 

Maimunah berkata, penjenamaan semula kepada Ronda-Ronda Kuala Lumpur memberi imej lebih segar dan mesra tempatan, selaras dengan aspirasi DBKL ke arah bandar raya pintar, mampan dan mesra pelancong.

-berita harian online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.