Monday, 27 October 2025

24 individu termasuk usahawan, pengkarya dan pemimpin NGO dilantik ikon, duta Langkawi UNESCO Global Geopark

 

Langkawi: Seramai 24 individu terdiri daripada usahawan produk, pengkarya dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dilantik sebagai ikon dan duta Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGGp) bagi tahun ini. 

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Seri Iskandar Mohd Kaus berkata, pelantikan itu bertujuan menyemarakkan promosi Langkawi Geopark kepada komuniti setempat dan pelancong asing. 

"Setiap ikon yang dilantik akan menjadi teladan dan jurucakap aktif serta latar belakang kepada aktiviti promosi Langkawi Geopark kepada masyarakat setempat, juga pelancong asing. 

"Ia juga simbol komitmen LADA memperkukuhkan Langkawi sebagai pulau ekopelancongan bertaraf dunia," katanya pada sidang media selepas Majlis Apresiasi Geopark Ikon 2025 di Dash Resort Langkawi, di sini, hari ini.

Untuk rekod, Langkawi diiktiraf sebagai Geopark pertama di Asia Tenggara dan ke-52 di dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 1 Jun 2007 dan terus mengekalkan status berprestij itu hingga kini. 

Antara ikon yang dilantik termasuk penanam lada hitam, Mohamad Aswad Saidin; pengusaha kuih dan biskut, Mazreena Azmi; pengusaha minyak angin Bidara, Haslinda Ahmad; pemandu pelancong, Firdaus Ahmad serta pengusaha sabun, Khakimah Zainul Arifin. 

Turut disenaraikan, pengusaha batik pewarna semula jadi, Suraizam Saad; pengusaha keropok lekor, Rosnani Ghazali; pengukir kayu, Ahmad Kacak; pengusaha keropok, Mohd Fadzlan Nor dan pengusaha kraf tangan, Mohd Sani Suid, Shuhaini Mohd Yusof serta Mohammad Radzi Ismail. 

Senarai ikon turut merangkumi pengusaha kristal, Kamarul Faizy Roslan; artis persembahan, Ku Ahmad Ku Sulong; pemuzik, Muhamad Hazihan Saari; pengusaha kraf batik, Yusnita Mohd Yusoff dan pengusaha fabrik, Saleha Ahmad. 

Seterusnya, pelukis dan pembuat arca, Khairudin Abdul Hamid dan empat pengusaha minuman, Salehuddin Idris, Tan Sock Hoon, Lokman Hakim serta Syed Al Yahya turut dilantik sebagai ikon berkuat kuasa serta-merta. 

Sementara itu, dua individu lain, Presiden Sahabat Langkawi Geopark (FLAG), Datuk Kamarulzaman Abdul Ghani dan Pensyarah Universiti kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Dr Norzaini Azman dilantik sebagai duta LUGGp. 

Pada majlis sama, Iskandar turut menyampaikan insentif berjumlah RM16,000 kepada 32 sekolah rendah dan menengah di Langkawi bagi mewujudkan Sudut Geopark di sekolah masing-masing sebagai usaha memperkasa pendidikan geopark di peringkat akar umbi.

-harian metro online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.