![]() |
| image: Tourism Malaysia |
KUALA LUMPUR: Malaysia menyasarkan untuk muncul sebagai hab pelancongan serantau melalui penganjuran Global Travel Meet 2025 yang dilihat sebagai platform penting memperkukuh sektor pelancongan, perdagangan dan pertukaran budaya di rantau ini.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, acara yang berlangsung selepas hampir dua dekad selepas kali terakhir diadakan pada 2007 itu bukan sekadar sesi dialog, sebaliknya menjadi medan strategik untuk membentuk hala tuju baharu pelancongan negara.
"Acara ini diharap dapat melahirkan idea baharu, mengukuhkan kerjasama sedia ada dan membuka ruang perkongsian strategik bagi membangunkan perniagaan, memperkasa komuniti serta mewujudkan pengalaman bermakna kepada pelancong di seluruh dunia.
"Penganjuran edisi kali ini cukup istimewa apabila
menghimpunkan lebih 600 pembeli, 400 penjual dan 100 wakil media antarabangsa
di bawah satu bumbung," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di program Global Travel Meet 2025, di Dewan Merdeka, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.
Program berkenaan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini
sehingga 3 Oktober.
Tambah Khairul Firdaus, acara ini turut mendapat sokongan strategik daripada Malaysian Inbound Chinese Association (MICA) dan Malaysian Indian Tour & Travel Association (MITTA), selain kerjasama rapat syarikat penerbangan negara iaitu Malaysia Airlines, Batik Air dan AirAsia.
Katanya, pencapaian pelancongan negara juga membanggakan apabila Malaysia merekodkan 38 juta pelancong antarabangsa pada 2024 iaitu meningkat sebanyak 31 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Tambah beliau, bagi tahun ini sahaja antara Januari hingga Julai, sebanyak 24.5 juta pelancong direkodkan dengan pasaran utama termasuk Singapura, Indonesia, China, Thailand, Brunei, India, Filipina, Korea Selatan, Australia dan Taiwan.
Pada masa sama, beliau turut menyeru semua pemain industri yang hadir agar memanfaatkan sepenuhnya Global Travel Meet 2025 dengan menjalin kerjasama baharu, bertukar pandangan dan mencetuskan inovasi untuk kejayaan bersama.
"Semoga acara ini menjadi pemangkin bukan sahaja kepada kejayaan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, tetapi juga untuk membina komuniti global yang lebih terangkum dan saling terhubung.
"GTM 2025 dijangka menjadi platform penting memacu kerjasama
antarabangsa sekali gus mengangkat Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan
dunia," katanya.
-berita harian online.

No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.