KUALA LUMPUR: Projek pembangunan bersepadu YOTEL & Medical Centre meraikan satu lagi pencapaian penting bagi kemajuan pembinaan yang dijadual siap sepenuhnya menjelang November 2026.
Pembangunan yang bakal menjadi lokasi pertama rangkaian hotel antarabangsa YOTEL di Malaysia itu dijangka memperkukuh landskap hospitaliti dan pelancongan perubatan di ibu kota.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JD Hospitality, Mohamed Abdul Jaleel, berkata Malaysia dipilih sebagai destinasi pelaburan luar negara pertama MES Group pada 2019 kerana keyakinan terhadap potensi jangka panjang Kuala Lumpur sebagai hab serantau.
"Bagi mana-mana organisasi, melangkah keluar dari negara
sendiri buat kali pertama adalah satu keputusan besar. Tetapi ada sesuatu
mengenai Malaysia yang memberi keyakinan kepada kami.
"Saya boleh katakan tanpa ragu bahawa ia adalah keputusan
terbaik yang pernah kami buat," katanya pada majlis rasmi Pecah Tanah dan
Penyempurnaan Struktur Tertinggi YOTEL & Medical Centre, di 82, Jalan Raja
Chulan, di sini, baru-baru ini.
Katanya, kedudukan geografik projek itu yang terletak di kawasan
Segi Tiga Emas Kuala Lumpur, projek terbabit dibangunkan menerusi kerjasama JD
Hospitality bersama High Street Holdings termasuk menggabungkan elemen
hospitaliti moden, pusat perubatan serta komponen gaya hidup dalam satu
pembangunan bersepadu.
Mengulas lanjut, Mohamed Abdul berkata, pembangunan Medical Centre itu mempunyai nilai sentimental tersendiri kerana ia lahir daripada impian lama untuk membangunkan pusat rawatan yang memberi penekanan kepada aspek penjagaan dan pengalaman pesakit.
"Sebuah hospital adalah impian sepanjang hayat saya. Ia bukan sekadar aspirasi perniagaan tetapi satu panggilan jiwa.
"Saya sentiasa percaya, antara perkara paling bermakna yang boleh dilakukan seseorang adalah membina tempat untuk masyarakat mendapatkan rawatan dan penjagaan terbaik," katanya.
Beliau berkata, projek itu turut mencerminkan komitmen syarikat untuk terus bertapak dan berkembang di Kuala Lumpur dalam jangka panjang.
"Kami bukan datang ke sini sekadar sebagai pihak luar yang hanya mencari peluang perniagaan dan kemudian pergi. Kami datang untuk menjadi sebahagian daripada ibu kota ini.
"JD Medical Centre dan YOTEL Kuala Lumpur bukan sekadar bangunan, tetapi janji kami kepada komuniti di sini," katanya.
YOTEL Kuala Lumpur dijangka menawarkan kira-kira 290 bilik hotel selain kemudahan premium seperti ruang gaya hidup atas bumbung, kawasan kerja bersama, fasiliti kesejahteraan dan komponen pusat perubatan bersepadu.
Sementara itu, Pengarah Urusan Sunray Construction & Interior Sdn Bhd, Tony Leong, berkata majlis rasmi pecah tanah dan penyempurnaan struktur tertinggi itu mencerminkan visi dan komitmen semua pihak yang terbabit dalam menjayakan pembangunan berkenaan.
"Majlis ini lebih daripada sekadar pencapaian pembinaan. Ia mewakili visi yang menjadi realiti, kerjasama yang membuahkan kemajuan dan komitmen untuk membangunkan sesuatu yang akan memberi manfaat kepada masyarakat untuk generasi akan datang.
"Penukaran Menara MIDF kepada YOTEL Kuala Lumpur yang bermula
pada 17 Julai 2025 bakal menjadi mercu tanda moden yang mengetengahkan inovasi,
kesalinghubungan, keselesaan dan gaya hidup urban," katanya.
Beliau berkata, pembangunan Medical Centre pula membawa nilai lebih besar kerana ia melambangkan aspek penjagaan kesihatan, kesejahteraan dan usaha meningkatkan kualiti hidup menerusi infrastruktur perubatan moden.
Tony berkata, projek berskala besar seperti itu memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk pemaju, arkitek, jurutera, kontraktor, pembekal dan pihak berkuasa bagi memastikan pembangunan dapat disiapkan mengikut piawaian ditetapkan.
"Pencapaian tahap topping out bagi YOTEL membuktikan kerja
keras, koordinasi dan ketekunan semua pihak yang terbabit. Pada masa sama,
pecah tanah Medical Centre menandakan permulaan kepada satu lagi perjalanan
penting.
"Fokus kami kekal jelas iaitu untuk menyiapkan kedua-dua pembangunan ini dengan aspek kualiti, keselamatan, kecekapan dan kecemerlangan sebagai keutamaan.
"Kami juga berharap projek ini dapat memberi impak positif
kepada komuniti setempat selain mewujudkan peluang baharu kepada sektor ekonomi
dan pelancongan negara," katanya.
-berita harian online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.