Wednesday, 24 June 2026

74.7 juta pelawat domestik dorong pertumbuhan pelancongan pada suku pertama

 

KUALA LUMPUR: Sektor pelancongan domestik Malaysia terus mengekalkan momentum pertumbuhan pada suku pertama 2026 dengan jumlah pelawat domestik merekodkan 74.7 juta orang, meningkat 7.2 peratus tahun ke tahun, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). 

Prestasi itu turut menyokong kepada pertumbuhan 0.9 peratus suku ke suku berbanding suku keempat 2025, mencerminkan kestabilan yang berterusan dalam permintaan perjalanan domestik. 

Pertumbuhan itu didorong oleh perjalanan semasa musim perayaan dan cuti umum sepanjang suku itu, khususnya Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri, yang lazimnya merangsang aktiviti pelancongan domestik termasuk aktiviti mengunjungi saudara-mara serta percutian keluarga. 

Tempoh perayaan itu menyumbang kepada peningkatan pergerakan pelawat serta pengukuhan aktiviti pelancongan di seluruh negara.

"Perbelanjaan pelancongan domestik merekodkan RM34.0 bilion dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 15.8 peratus, menunjukkan bukan hanya disumbangkan oleh peningkatan aktiviti perjalanan malahan pertambahan purata perbelanjaan setiap pelawat. 

"Secara suku ke suku, jumlah perbelanjaan meningkat 4.5 peratus, memberi petunjuk daya tahan berterusan dalam aktiviti ekonomi berkaitan pelancongan," jelas Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan.

DOSM berkata, prestasi positif itu turut disokong oleh pertumbuhan petunjuk utama, antaranya trafik lebuh raya yang meningkat 1.0 peratus, jualan runcit bahan api meningkat 8.0 peratus dan ketibaan penumpang udara domestik bertambah 9.6 peratus tahun ke tahun, mencerminkan peningkatan mobiliti serta permintaan perjalanan domestik. 

Sektor penginapan turut menunjukkan prestasi yang memberangsangkan apabila hasil sektor itu meningkat sebanyak 15.4 peratus, sejajar dengan peningkatan permintaan pelancongan. 

Kadar penghunian hotel bertaraf empat bintang dan tiga bintang masing-masing meningkat kepada 62.9 peratus (suku pertama 2025: 62.4 peratus) dan 70.4 peratus (suku pertama 2025: 69.3 peratus), mencerminkan kecenderungan yang semakin meningkat dalam kalangan pelancong terhadap pilihan penginapan bagi kategori pertengahan. 

Mengikut lokasi, kadar penghunian hotel di kawasan bandar meningkat kepada 64.1 peratus (suku pertama 2025: 61.8 peratus), manakala kawasan pesisir pantai merekodkan kadar penghunian sebanyak 59.9 peratus (suku pertama 2025: 59.3 peratus). 

Prestasi itu menunjukkan permintaan yang berterusan dan seimbang merentasi destinasi pelancongan utama negara. 

Secara keseluruhannya, pelancongan domestik kekal sebagai penyumbang penting kepada ekonomi Malaysia, disokong oleh peningkatan jumlah pelawat, perbelanjaan pelancongan serta aktiviti perjalanan sepanjang suku itu.

-berita harian online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.