Monday, 8 June 2026

Setem Khas Visit Malaysia 2026: Membawa Kisah Malaysia Ke Seluruh Dunia

 


Kuala Lumpur, 8 Jun 2026 – Pos Malaysia Berhad hari ini melancarkan secara rasmi Setem Khas Visit Malaysia 2026 (VM2026) di Pejabat Pos Besar Lama yang terletak di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh promosi Malaysia di peringkat domestik dan antarabangsa sempena Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh YB Tuan Chiew Choon Man, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, dan turut dihadiri Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Encik Mohd Amirul Rizal bin Abdul Rahim, wakil Pos Malaysia Berhad, agensi kerajaan, pemain industri pelancongan serta komuniti filateli.

Diterbitkan hasil kerjasama antara Pos Malaysia Berhad dan Tourism Malaysia, koleksi setem istimewa ini menampilkan semangat “Malaysia, Truly Asia” melalui paparan mercu tanda ikonik, warisan budaya yang kaya, keindahan alam semula jadi serta kepelbagaian identiti yang menjadikan Malaysia sebuah destinasi pelancongan unik di mata dunia.

Lebih daripada sekadar koleksi filateli, setem khas ini berfungsi sebagai medium yang merentasi sempadan dan generasi, membawa naratif Malaysia kepada masyarakat global. Setiap helaian setem menceritakan kisah tersendiri, memperkenalkan keunikan, keindahan dan keramahan Malaysia kepada dunia.

Mulai 8 Jun 2026, koleksi ini boleh didapati di 90 Biro Filateli seluruh negara, termasuk 13 Pejabat Pos Besar, pejabat pos terpilih dan platform dalam talian Pos Malaysia, selagi stok masih ada. Selain itu, peminat setem dan pelancong berpeluang mengumpul setem khas VM2026 yang menampilkan reka bentuk unik setiap negeri di Malaysia, tersedia di 13 Pejabat Pos Besar serta Pejabat Pos Kangar, Perlis, sebagai koleksi kenangan istimewa sepanjang pengembaraan mereka.

-Tourism Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.