Monday, 8 June 2026

Terengganu International Bike Week 2026 Perkukuh Terengganu Sebagai Destinasi Pelancongan Permotoran Serantau

 

Kuala Lumpur, 7 Jun 2026 – Lebih 90,000 pengunjung termasuk pelancong antarabangsa dijangka membanjiri Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu sempena penganjuran Terengganu International Bike Week (TIBW) 2026 yang akan berlangsung dari 24 hingga 28 Jun 2026.

Acara berprestij ini turut menyasarkan penyertaan lebih 90,000 peminat motosikal berkuasa tinggi dari dalam dan luar negara, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara himpunan permotoran terbesar di rantau ini serta memperkukuh imej Terengganu sebagai destinasi pelancongan berasaskan acara bertaraf antarabangsa.

Penganjuran TIBW 2026 ini adalah selari dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 yang memberi tumpuan kepada pelancongan berasaskan pengalaman (experience-based tourism), penganjuran acara berimpak tinggi serta usaha memperkukuh daya tarikan destinasi pelancongan negara di peringkat antarabangsa. Acara ini turut berperanan sebagai platform promosi strategik bagi Malaysia, di samping memperkukuh kedudukan Terengganu sebagai destinasi pelancongan utama di Pantai Timur.

TIBW 2026 menyediakan pelbagai program antaranya Festival Makanan dan kolaborasi eksklusif bersama Terengganu Coffee Fest, pameran aset strategik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui program Survivor Village, pertunjukan bot amfibia, persembahan Tempur Tanpa Senjata dan demonstrasi Brass Band Rejimen 512.

Melalui penganjuran berskala besar ini, ia dijangka memberi impak signifikan kepada sektor pelancongan negeri Terengganu melalui peningkatan ketibaan pelancong, tempahan penginapan serta limpahan ekonomi kepada pemain industri pelancongan tempatan. Selain itu, momentum penganjuran ini turut menjadi persediaan awal yang penting ke arah Tahun Melawat Terengganu 2027, yang dijangka mengangkat negeri ini sebagai destinasi pilihan pelancong domestik dan antarabangsa melalui kepelbagaian produk pelancongan yang unik, mampan dan berdaya saing.

-Tourism Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.