PUTRAJAYA, 27 Februari 2026 - Bersempena dengan kempen Visit
Malaysia 2026, Tourism Malaysia membawa inisiatif baru bagi para pegawai
Tourism untuk meraikan warisan makanan Malaysia dan semarakkan bulan Ramadan
ini dengan program agihan Bubur Lambuk yang dianjurkan bersama dengan Tourism
Malaysia, Islamic Tourism Center dan Surau Mutmainnah, Motac.
Program ini disempurnakan dengan kehadiran Ketua Setiausaha
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, YBhg. Dato’ Shaharuddin bin Abu
Sohot. Turut bersama Timbalan Ketua
Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, YBrs. Encik Chua Choon Hwa
serta barisan tertinggi Tourism Malaysia, yang diketuai oleh Ketua Pengarah
Tourism Malaysia, YBrs. En Mohd Amirul Rizal Abd Rahim.
Tumpuan utama program ini ialah penyediaan 5 stesen memasak berskala
besar (periuk kawah), yang akan menyaksikan penglibatan aktif para peserta
dalam proses penyediaan Bubur Lambuk. Sesi ini telah dikendalikan oleh chef
selebriti tersohor, Chef Dr. Liza Zainol, yang mengadakan demonstrasi masakan secara
langsung sambil membimbing para peserta berkenaan teknik penyediaan tradisional
serta kepentingan setiap ramuan yang digunakan.
Para peserta bukan sahaja berpeluang menyaksikan demonstrasi
tersebut, malah akan terlibat secara menyeluruh dalam pengalaman memasak secara
amali, sekaligus memupuk semangat kerjasama, interaksi dan pertukaran budaya
dalam suasana yang harmoni.
Selain itu,terdapat peserta jemputan daripada komuniti Muslim Cina
dari China yang juga turut serta bersama peserta tempatan, sekaligus
memperkukuh usaha diplomasi budaya melalui perkongsian tradisi kulinari.
Penyertaan komuniti Muslim Cina ini diatur oleh Encik Abdullah Her (Sign Travel
dan Ketua Komuniti di Malaysia).
Melalui inisiatif ini, Tourism Malaysia dapat mempromosikan warisan
kulinari Malaysia di peringkat antarabangsa, di samping memperkukuh diplomasi
budaya melalui perkongsian tradisi masakan yang menjadi identiti bersama.
Program ini turut menggalakkan pemeliharaan resipi tradisional agar
terus diwarisi oleh generasi akan datang, selain mewujudkan penglibatan yang
bermakna antara komuniti tempatan dan peserta antarabangsa.
Secara keseluruhannya, program ini telah mencerminkan semangat
perpaduan, kepelbagaian dan keramahan Malaysia yang menyatukan masyarakat
melalui tradisi, cita rasa serta penghayatan budaya.
-Tourism Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.