Tuesday, 10 February 2026

Majlis Perasmian Kempen Shoplah Pacu Sektor Pelancongan Negara

 

SEPANG, 10 FEBRUARI |  YB Dato Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya telah merasmikan Kempen ShopLAH yang berlangsung di Aras 5, Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kempen ShopLAH merupakan salah satu inisiatif strategik untuk memperkaya pengalaman pelancong sebaik sahaja melangkah masuk ke pintu masuk utama negara.

YB Menteri dalam ucapannya, menekankan kepentingan persepsi awal pelancong terhadap Malaysia, khususnya dari segi kebersihan, kemudahan dan harga barangan serta makanan di lapangan terbang. Beliau menyeru semua pihak berkaitan, termasuk pengurusan lapangan terbang dan pengusaha pusat jualan (outlet) untuk berbincang secara konstruktif bagi mencapai situasi menang-menang, terutamanya dalam usaha menurunkan harga melalui pendekatan volum dan peluasan pilihan perniagaan.

Beliau turut menyentuh keperluan menambah kepelbagaian pilihan outlet makanan, menilai semula kadar sewaan dan memastikan harga barangan bebas cukai lebih kompetitif berbanding di luar lapangan terbang. Langkah-langkah ini dilihat penting bagi meningkatkan daya tarikan KLIA sebagai hab pelancongan dan membeli-belah serantau, selari dengan pertambahan jumlah pelancong antarabangsa.

Selain itu, beliau memaklumkan bahawa perbincangan dengan pelbagai syarikat penerbangan antarabangsa sedang giat dijalankan termasuk dari Eropah, Timur Tengah, China dan lain-lain bagi membuka lebih banyak laluan terus ke Malaysia.

Turut hadir, YBrs. Encik Chua Choon Hwa, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan YBrs. Encik Mohd Amirul bin Abdul Rahim, Ketua Pengarah Tourism Malaysia.

-MOTAC.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.