Tuesday, 10 February 2026

GL Play tambah baik pengalaman taman tema dengan kerjasama Trip.com

 

KUALA LANGAT: GL Play by Gamuda Land Bhd dan Trip.com Group memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi mengukuhkan kerjasama strategik menambah baik pengalaman pengunjung taman tema melalui integrasi digital dan kios layan diri pintar. 

Melalui kerjasama ini, kedua-dua pihak menambah baik pengalaman pelanggan secara menyeluruh, bermula daripada pembelian tiket hingga kemasukan ke taman tema, dengan penyediaan sokongan berbilang bahasa serta pilihan pembayaran yang pelbagai. 

Inisiatif itu diperkukuh menerusi penggunaan kios tiket layan diri Trip.com di pintu masuk taman tema. 

Selain itu, kemudahan kios berkenaan akan dipertingkat dengan penawaran pilihan tiket baharu seperti laluan keutamaan bagi tarikan terpilih, membolehkan pengunjung mengoptimumkan masa dan pengalaman mereka.

Kerjasama itu menyatukan capaian global dan ekosistem perjalanan digital Trip.com Group dengan portfolio destinasi riadah GL Play yang memenangi pelbagai anugerah, sekali gus menyasarkan peningkatan permintaan pelancong tempatan dan antarabangsa, khususnya dari pasaran Asia.  

Antara tarikan utama di bawah GL Play yang terlibat termasuk Taman Tema Air SplashMania, Paya Indah Discovery Wetlands, Discovery Park dan FunPark.

MoU itu juga membuka ruang kepada pengintegrasian sistem yang lebih kukuh antara Trip.com Group dan GL Play, sekali gus menandakan integrasi langsung sulung GL Play dengan agensi pelancongan dalam talian (OTA) bagi memudahkan penjualan tiket, kepelbagaian produk serta proses tempahan yang lebih lancar. 

Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan Daya Tarikan dan Pelancongan Antarabangsa Trip.com Group, Chase Liu, berkata peningkatan minat terhadap tarikan pelancongan menjadi faktor utama dalam perancangan perjalanan pelancong global. 

"Berdasarkan data kami, taman tema muncul sebagai antara tarikan paling banyak ditempah di peringkat global bagi suku pertama 2026. Kerjasama dengan GL Play membolehkan kami memudahkan pelancong merancang dan menikmati pengalaman riadah unik di Malaysia," katanya. 

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Riadah dan Hospitaliti Gamuda Land, Liong Ve Lyn, berkata pakatan berkenaan membolehkan pihaknya menawarkan pengalaman yang lebih cekap, inovatif dan ditambah baik kepada pengunjung. 

"Kerjasama ini juga menyokong usaha menarik lebih ramai pelancong tempatan dan antarabangsa, selain mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi riadah bertaraf dunia," katanya. 

Kerjasama strategik itu dilihat seiring dengan pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Selangor 2026, yang menyasarkan peningkatan ketibaan pelancong serta pendedahan global terhadap tarikan pelancongan negara dan negeri. 

Sebagai sebahagian daripada kerjasama berkenaan, pelanggan yang membeli tiket menerusi kios layan diri Trip.com di SplashMania layak menikmati diskaun tambahan 10 peratus di Maniacs Closet serta potongan 15 peratus di FunPark, Paya Indah Discovery Wetlands dan Discovery Park sehingga 31 Disember 2026, tertakluk kepada terma dan syarat.

-berita harian online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.