KUALA LUMPUR: Pertandingan golf amatur paling berprestij di negara ini, Siri Golf Amatur Nasional Perodua (PNAGS) edisi keenam dilancarkan meriah dengan sasaran menarik penyertaan 2,000 pemain.
Pelancaran PNAGS 2026 itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia (Promosi), Lee Thai Hung di Templer Park Country & Golf Club, Rawang, dekat sini.
Seperti tahun lalu, sebanyak 14 pusingan akan diadakan di seluruh negara dengan lima pemenang bagi setiap kategori iaitu Medal A, B, C, D dan E akan dipilih untuk berentap di pusingan akhir pada penghujung musim.
Pada tahun ini satu kategori baharu diperkenalkan bagi merancakkan
lagi saingan iaitu gross iaitu juara keseluruhan bagi individu sekali gus
menjadikan enam pemenang bakal dipilih bagi setiap pusingan.
Pemenang pada pusingan akhir kebangsaan PNASG 2026 akan mewakili negara ke pusingan akhir Kejohanan Pemain-Pemain Golf Amatur Dunia (WAGC) yang membabitkan penyertaan dari seluruh dunia.
Presiden WAGC, Isac Saminathan berkata pusingan akhir kebangsaan
PNAGS 2026 akan diadakan di Templer Park Country & Golf Club pada 27 hingga
29 September ini.
Katanya, pusingan akhir WAGC 2026 pula akan diadakan di Desaru Coast, Johor pada 23 hingga 31 Oktober.
"Selain kategori gross, tahun ini juga buat pertama kalinya kita memperkenalkan aplikasi mobile sendiri untuk sistem pendaftaran pemain bagi saingan PNAGS 2026.
"Menerusi aplikasi ini pemain bukan saja boleh mendaftar menyertai pertandingan dengan mudah, malah mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan perkembangan pertandingan," katanya selepas pelancaran pertandingan PNAGS 2026 yang menyaksikan pengeluar kereta nasional, PERODUA tampil buat kali keenam sebagai penaja gelaran.
Hadir sama Pengerusi PERODUA, Tan Sri Asmat Kamaludin; Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA), Tan Sri Mohd Anwar Mod Nor dan Pengerusi Penganjur PNAGS, Lokman Ishak.
Selain Tourism Malaysia dan PERODUA, penganjuran PNAGS turut mendapat sokongan daripada pelbagai syarikat selain sokongan padu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta diiktiraf oleh MGA.
Dalam pada itu, Thai Huang berkata pihaknya melihat penganjuran PNAGS sebagai platform strategik yang dapat membantu Malaysia sebagai destinasi sukan utama selaras dengan program Tahun Melawat Malaysia tahun ini.
"Dalam masa sama, penganjurann PNAGS juga mencipta peluang berharga kepada masyarakat setempat dan perniagaan kecil seperti hotel, operator pelancongan, dan agensi pelancongan," katanya.
Dalam pada Asmat berkata pihaknya berbangga dapat memberi sokongan kepada penganjuran sukan golf seperti PNAGS dan gembira dengan minat tinggi ditunjukkan ramai pemain amatur di seluruh negara.
"Ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk terus menyumbang semula kepada masyarakat menerusi program tanggungjawab sosial (CSR) dalam acara sukan seperti ini," katanya.
Sementara itu, Mohd Anwar berkata MGA sentiasa memberi sokongan padu kepada penganjuran PNAGS dan berharap ia akan dapat membantu melahirkan ebih ramai pemain amatur terbaik di negara ini.
Dalam pada itu, PNAGS 2026 akan membuka tirainya di Sungai Long Golf and Country Club, Selangor pada 2 April ini, diikuti Penang Golf Resort (11 April), A'Famosa Resort, Melaka (16 April), Kelantan Golf Club (25 April).
Selain itu, Tasik Golf And Country Club, Terengganu (7 Mei), Royal Pahang Club, Pahang (14 Mei), Ponderosa Golf & Country Club, Johor (4 Jun), Sultan Abdul Aziz Shah Golf and Country Club, Perlis (18 Jun), Bintulu Golf Club, Sarawak (27 Jun), Kulim Golf & Country Club (2 Julai).
Seremban Internationl Golf Club, Negeri Sembilan (16 Julai), Meru
Valley Golf & Country Club, Perak (30 Julai), Shan Shui Golf & Country
Club, Sabah (16 Ogos) dan Impian Golf & Country Club, Wilayah Persekutuan
(27 Ogos).
-berita harian online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.