KUALA LUMPUR: Pemandu pelancongan burung atau bird guide perlu mempunyai lesen khusus kerana dokumen itu bukan sekadar pengesahan rasmi, malah ia juga memberi jaminan pekerjaan, kualiti dan kepercayaan kepada perkhidmatan serta menjamin keselamatan dan kelestarian alam.
Saranan itu disuarakan Pengerusi Pertubuhan Kelestarian Ekosistem
Alam (NEST), Sulaiman Salikan yang berpandangan lesen khusus itu juga bukan
sekadar memberi manfaat kepada pemandu pelancongan burung dan alam sekitar,
tetapi juga memastikan pelancong tidak menerima maklumat salah, terutama
pelancong antarabangsa yang sanggup membayar mahal untuk menikmati pengalaman
berkualiti.
"Isu lesen bird guide ini sudah beberapa kali dikemukakan
kepada pihak berwajib, tetapi masih belum ada usaha ke arah
pelaksanaannya," katanya yang menyuarakan isu berkenaan ketika sesi libat
urus bersama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing
sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 di Putrajaya, kelmarin.
Sulaiman yang berkecimpung dalam bidang berkaitan burung sejak 17
tahun lalu, berkata aktiviti itu makin meriah di Malaysia dengan bertambahnya
individu dan kumpulan yang aktif merekod spesies burung dan berjaya merakam
beberapa spesies belum ditemui sebelum ini.
"Melalui perkongsian di media sosial, burung di Malaysia menjadi tarikan, bukan sahaja dalam negara, tapi juga seluruh dunia. Sempena TMM 2026, untuk memastikan Malaysia menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelancong, pemandu burung terlatih dan diiktiraf kerajaan amat diperlukan.
"Setakat ini belum ada lesen khas buat pemandu burung,
sebaliknya mereka beroperasi menggunakan lesen pemandu pelancong alam sekitar
atau nature guide. Sudah sampai masanya untuk kita melihat semula keperluan
melatih dan mengiktiraf pemandu burung profesional.
"Ia bagi memastikan maklumat dan segala urusan berkaitan pelancongan burung berjalan lancar dan mengikut landasan yang betul. Pemandu aktiviti ini perlu diberikan lesen sebagai usaha meningkat tahap profesionalisme, melindungi komuniti tempatan dan mempraktikkan konservasi, bukan eksploitasi," katanya.
Sulaiman yang juga pengasas NEST yang ditubuhkan pada 2017, menambah aktiviti itu juga membabitkan kawasan agak bahaya seperti hutan, paya, pulau dan gunung yang mendedahkan penggiat dan peminatnya kepada risiko cuaca dan hidupan liar.
Justeru, katanya, lesen kepada pemandu pelancongan burung yang berjaya melepasi kursus dapat melahirkan pemandu terlatih dan bertanggung jawab, sekali gus mewujudkan pengurusan industri pelancongan burung yang sistematik dan profesional yang dapat meletakkan Malaysia bagai destinasi pelancongan eko bertaraf dunia.
"Ia juga akan menyaksikan pelancong luar lebih yakin untuk menempah bird guide yang diiktiraf kerajaan. Selain itu, dapat membuka peluang kepada komuniti tempatan memilih bird guide sebagai kerjaya profesional, seterusnya menjadi rakan konservasi merekod spesies, migrasi dan populasi burung.
"Usaha ini juga dan dapat membantu agensi pemuliharaan membuat keputusan dasar. Pelancongan berasaskan burung atau birdwatching dan avitourism, walaupun dalam kategori niche tourism, mampu menyumbang kepada pendapatan negara.
"Ini kerana industri ini semakin mendapat perhatian peminat
burung tempatan dan antarabangsa," tambahnya yang berharap pihak berwajib,
khasnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyegerakan kursus
dan mengeluarkan lesen kepada bird guide supaya golongan itu beroperasi boleh
di seluruh negara tanpa sempadan atau had wilayah.
-berita harian online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.