Berdekatan Universiti Malaysia Pahang (UMP) Kampus Gambang, resort berkenaan menampilkan percutian eksklusif kepada pengunjungnya.
Dibuka pada Disember tahun lalu, resort tersebut menggabungkan privasi, ketenangan dan unsur kemewahan buat para tetamu yang menginap di situ.

Mangala Resort & Spa mempunyai tarikan tersendiri iaitu keunikan rekaan resort, suasana mendamaikan dengan alam semula jadi serta pemandangan yang menarik dan spa.

Resort lima bintang berkenaan mempunyai 31 bilik dan menawarkan tiga jenis penginapan vila yang bersesuaian dengan kehendak serta keperluan pengunjungnya iaitu Jala Villa, Vana Villa dan Sara Cottages.

Lebih menarik, resort itu turut menyediakam kolam renang peribadi untuk tetamunya. Kolam renang peribadi berkenaan hanya disediakan untuk vila tertentu seperti di rangkaian Vana Villa.

Semestinya dengan kolam renang peribadi yang disediakan, pengunjung dapat menikmati ruang privasi tersendiri tanpa diganggu tetamu lain.

Beberapa bilik yang disediakan di situ juga mempunyai ruang duduk yang membolehkan setiap pengunjung menikmati secawan kopi atau teh dari teres atau balkoni bilik mereka.

Kemudahan tambahan yang disediakan di Mangala Resort & Spa termasuk selipar dan peralatan mandian percuma. Tempat meletak kenderaan awam percuma juga boleh didapati di situ.

Pengunjung pasti berpuas hati dengan hiasan dalaman dan aturan bilik di sini yang turut dilengkapi kemudahan terkini termasuk WiFi bagi memberikan keselesaan serta kepuasan optimum kepada mereka.

Jika berasa lapar dan mahu mencari makanan, pengunjung tidak perlu bersusah payah keluar kerana terdapat restoran tepi tasik yang pasti membuatkan mereka berpuas hati dan rasa berbaloi.

Beroperasi bermula pukul 7 pagi sehingga 10 malam, restoran berkenaan menyediakan pelbagai jenis makanan termasuk untuk sarapan, masakan barat dan juadah 'ala carte'.

Selain restoran, Mangala Resort & Spa mempunyai bar tepi tasik yang pastinya memberikan ketenangan kepada pengunjung di situ.

Terdapat pelbagai aktiviti yang dapat dilakukan oleh tetamu yang menginap di resort tersebut. Percayalah, masa lapang akan diisi dengan aktiviti yang memberi manfaat kepada badan dan fikiran pengunjung.

Antara aktiviti yang terdapat di situ adalah memanah, berbasikal, jungle trekking, berjoging, bermain golf, melihat burung, berkayak, menunggang kuda dan permainan papan.

Orang ramai ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Mangala Resort & Spa boleh menghubungi pihak resort di talian 09-5057788 atau melayari laman sesawang www.mangalaresortandspa.com.
-utusan online.