http://thewaterfrontkuching.com/index.php |
Bukan itu sahaja, hotel butik lima bintang yang baru beroperasi pada awal tahun ini turut terletak di atas sebuah pusat beli-belah terkenal iaitu Plaza Merdeka menjadikan ia pilihan orang ramai dari dalam mahu pun luar negara.
Tetamu hotel ini boleh bersiar-siar tanpa perlu menaiki kenderaan ke beberapa tempat menarik dan bersejarah seperti Tebingan Kuching iaitu mereka boleh menaiki kapal layar menyelusuri Sungai Sarawak atau penambang (sampan) pergi ke Kampung Gersik untuk membeli kek lapis dan ikan terubuk masin sebagai buah tangan.
Setibanya penulis dan jurugambar di pintu masuk lobi hotel melalui Kompleks Mahkamah Lama Kuching yang dibina pada 1874, kami disambut dengan sebuah lukisan besar menunjukkan pokok Sepit Udang atau nama santifiknya Heliconia dan burung Enggang yang mengisahkan mengenai alam, hasil karya pelukis tempatan, Narong Daun, di samping senyuman manis para kakitangan hotel.
Sambutan awal itu mengesahkan apa yang dimaklumkan oleh pemilik hotel, Datuk Steve Ng Thian Yew kepada penulis sebelum ini, bahawa mereka mahu meletakkan penginapan tersebut dengan tema 'artrageous' iaitu seni-seni artistik termasuk dalam bilik yang pasti meninggalkan kenangan bermakna buat tetamu.
Menurut Steve, tema itu membolehkan pihaknya menyokong artis-artis tempatan seperti Ramsey Ong, Narong Daun, Chew Fang Chin, Nisa Addina (pemain viola) bagi mempromosikan hasil karya mereka melalui hotel berkenaan dan menjualnya kepada pengunjung yang datang.
“Bilik-bilik suite menggunakan nama dan tema artis-artis berkenaan yang mana hasil seni mereka akan dipamerkan dalam bilik termasuk biodata mereka.
“Kita mempunyai 208 bilik termasuk 45 suite dengan kapasiti sepenuhnya dapat menampung kira-kira 500 orang.
“Walau bagaimanapun ketika ini, 80 peratus daripada keseluruhan bilik sudah dibuka dan menjelang hujung tahun ini kita akan beroperasi sepenuhnya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, sejak dibuka pada Januari lalu, sambutan dan maklum balas diterima daripada pelanggan cukup positif kerana pihaknya sentiasa mengutamakan dengan layanan khidmat pelanggan terbaik.
Dalam pada itu, kata Steve, pihaknya juga dalam perancangan untuk membuka sebuah coffee bar di atas bumbung hotel bagi memberikan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan pengunjung.
“Di coffee bar ini, pengunjung dapat menikmati pemandangan bandar raya Kuching pada waktu matahari terbenam sambil menikmati kopi atau minuman lain bersama juadah ringan yang disediakan,” ujarnya.
Selain itu, katanya, hotel itu turut menyediakan pelbagai kemudahan seperti restoran Cafe Via Mare yang menyediakan masakan berkonsepkan barat dan Asia, gimnasium, bilik persidangan, eksekutif lounge dan kolam renang menggunakan air masin yang dikatakan baik untuk kulit.
Kolam renang terletak di tingkat empat itu cukup menarik kerana pemandangannya terarah ke bangunan DUN Sarawak yang menghadap sungai.
Setiap bilik di hotel ini menggunakan katil empuk yang direka khas bagi memberikan pengalaman tidur 'heavenly bed' dengan tilam Getha.
Wifi percuma disediakan pada setiap bilik bersama dua sarapan bufet dengan harga bilik bermula dari RM188 sehingga RM380 semalam.
Alamat: 68 Jalan Tun Abang Haji Openg, 93000 Kuching, Sarawak.
Telefon: 082-227227
Faksimili: 082-227277
Laman web: www.thewaterfrontkuching.com
-utusan online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.