Mengetengahkan konsep glamping, Hijau Adventures antara operator yang pakar dalam menjadikan percutian di hutan sebagai satu pengalaman manis yang sukar dilupakan.

Glamping adalah singkatan dua perkataan Inggeris yang disatukan iaitu glamour dan camping. Perkataan itu membawa maksud perkhemahan yang menyediakan segala kemudahan dan peralatan mewah serta moden.
Bayangkan walaupun berada di dalam hutan, kita masih mampu menikmati tidur beralaskan tilam dan bantal empuk dengan khemah yang turut dilengkapi kipas angin.

Kita juga berpeluang duduk bersantai di atas kerusi sambil menghirup kopi panas, menikmati keindahan dan ketenangan alam semula jadi.
Perasaan itu dirasai sendiri oleh penulis ketika mengikuti perkhemahan bersama Hijau Adventures sempena program Marvellous Reunion di Air Terjun Jerangkang, Maran, Pahang baru-baru ini.

Selain kemudahan untuk bermalam, Adventures Hijau 
juga menyediakan kemudahan asas lain seperti tandas mudah alih, lampu, meja makan dan dapur.

Segala perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan itu adakalanya membuatkan kita terlupa seketika yang kita sedang berada di dalam hutan belantara.

Menurut Pengasas Hijau Adventures, Mohd. Khairil Benjamin Mohd. Rodwan, pihaknya juga membawa kelainan apabila menawarkan percutian berkhemah dengan konsep ‘resort bergerak’.

Jelas beliau, berbanding kebanyakan operator yang hanya menawarkan perkhemahan di lokasi atau kem masing-masing, pelanggan Hijau Adventures boleh memilih untuk berkhemah di mana-mana lokasi termasuk hutan belantara yang tiada akses kepada kemudahan asas.

“Kebanyakan pelanggan mahu menikmati suasana yang betul-betul berada di dalam hutan. Dalam masa sama, mereka mahukan perkhidmatan yang selesa seperti menginap di resort.

“Konsep ini yang kami cuba bawakan. Bayangkan anda berkhemah di hutan, tetapi ada butler atau pelayan yang akan menyediakan semuanya untuk anda termasuk makanan yang menyelerakan,” ujarnya.

Malah Mohd. Khairil Benjamin yang lebih mesra dengan panggilan Ben berkata, selain pelbagai jenis aktiviti luar seperti jungle treking, slack lines serta zip lines, pihaknya juga menyediakan live band jika terdapat permintaan daripada pelanggan.

Seorang lagi pengasasnya, Christina Eliza D’Cruz pula berkata, selain perkhemahan santai, Hijau Adventures juga menyediakan perkhidmatan road trip yang akan membawa pelanggan khususnya pelancong asing mengenali tarikan dan budaya tempatan.

Katanya, sepanjang perjalanan, mereka akan dibawa singgah di kawasan kampung terutama perkampungan Orang Asli, hutan, tasik serta pantai.
“Sebagai contoh, kami tidak menggunakan generator untuk menyediakan tenaga elektrik, sebaliknya menggunakan panel solar,” katanya.

Konsep yang cuba diketengahkan sangat sesuai bagi mereka menghabiskan masa jauh daripada hiruk pikuk kota.

Untuk keterangan lanjut bolehlah layari laman web www.ecoadventuresmalaysia.com atau www.facebook.com/hijauadventures.
-utusan online.