Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, pihaknya optimis sasaran itu mampu dicapai menerusi promosi agresif kawasan tarikan pelancong sedia ada termasuk menaik taraf, mengenal pasti kawasan baharu dan menarik di negeri berkenaan.

Malah, kata beliau, pihaknya juga menyasarkan sebanyak RM10 bilion perbelanjaan pelancong domestik dan antarabangsa ke negeri berkenaan sepanjang Tahun Melawat Pahang 2017.

“Tahun lalu, Pahang dapat menarik kira-kira 10.5 juta pelancong domestik dan antarabangsa dengan perbelanjaan pelancong sebanyak RM7 bilion.

“Usaha mempromosi pelancongan negeri akan dipertingkatkan menerusi pelbagai gerak kerja dan kempen termasuk siri jelajah ke seluruh negara bagi menarik lebih ramai pelancong ke Pahang,” katanya dalam sidang akhbar dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di sini semalam.

Tourism Pahang menandata­ngani MoU dengan GISB Holdings Sdn. Bhd dalam usaha mempromosikan Kempen Tahun Melawat Pahang 2017.

MoU tersebut dimeterai Pengurus Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif GISB Holdings Sdn. Bhd., Lokman Hakim Pfordten sambil disaksikan Mohd. Sharkar.

Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar berkata, pihaknya bercadang memperkenalkan nombor plat kenderaan khas ‘VIP’ sempena mempromosikan negeri Pahang.
“Ini merupakan antara inisiatif kerajaan negeri meminimumkan perbelanjaan dan mengumpul dana bagi membiayai kerja-kerja promosi negeri ini,” ujarnya.
-utusan online.