Pengerusi program, Nazir Hussin Akhtar berkata, penganjuran KL Supercar Drag Race itu merupakan yang pertama daripada empat siri perlumbaan di Kuala Lumpur pada tahun ini.

“Apa yang menarik mengenai program ini ialah perlumbaan berlangsung dalam trek di bandar dan boleh disaksikan oleh penonton serta berbeza dengan trek yang diadakan di Sepang.

“Program ini juga memenuhi standard penganjuran antarabangsa termasuk ciri-ciri keselamatan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata, program yang merupakan inisiatif Biro Hal Ehwal Bandar dan Perumahan Pemuda UMNO berjaya menarik perhatian sebanyak 270 pemilik supercar termasuk 40 orang dari Singapura menyertai perlumbaan kali ini.

“Program ini dilihat boleh menjadi salah satu aktiviti positif untuk generasi muda di bandar raya.

“Pada masa sama, ia juga dapat menjadi satu landasan untuk generasi muda melibatkan diri daripada industri perlumbaan permotoran,” katanya.

Siri kedua dan seterusnya KL Supercar Drag Race 2016 akan diadakan pada 16 dan 18 September, 4 hingga 6 November dan 2 hingga 4 Disember, semua lokasi di Kuala Lumpur.
-utusan online.