Pengerusi Jawatankuasa Pe­lan­congan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohd. Radzi berkata, pengiktirafan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perang­kaan itu membolehkan Perak mengungguli ka­tegori tersebut untuk tahun keempat berturut-turut.

Katanya, kejayaan itu merupakan pencapaian terbaik dan pelbagai usaha perlu dilakukan bagi mengekalkan momentum dan kedudukan tersebut.
“Kerajaan negeri akan lebih berusaha untuk mempromosikan produk-produk pelancongan sedia ada mahupun yang baharu beroperasi ke peringkat antarabangsa.

“Usaha ini secara langsung akan mewujudkan lebih pembangunan sama ada dalam sektor pelancongan atau sektor lain yang bukan sahaja meningkatkan ekonomi negeri malah membawa nama Perak ke persada dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Festival Durian dan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Tourism Perak di Gua Tempurung, di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, penyenaraian Ipoh di tangga keenam untuk destinasi pelancongan terbaik di Asia untuk tahun 2016 oleh Lonely Planet juga merupakan kejayaan terbaik sektor pelancongan negeri ini.

Katanya, kejayaan itu adalah hasil daripada pelbagai strategi yang dijalankan kerajaan negeri dalam usaha merancakkan lagi sektor tersebut.
-utusan online.