KUANTAN 11 Julai – Kerajaan negeri Pahang akan menggiatkan promosi Tahun Melawat Pahang 2017 (TMP 2017) menerusi jalinan kerjasama dengan syarikat Global Ikhwan Sdn. Bhd. (Global Ikhwan), yang mempunyai 83 rangkaian restoran di seluruh dunia.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, Global Ikhwan antara lain mempunyai rangkaian restoran dan kafe di Jerman, Australia, Emiriah Arab Bersatu, Jordan, Thailand dan United Kingdom.
Pemilihan syarikat itu juga mengambil kira reputasi cemerlang dalam membawa nama Malaysia dan memperkenalkan keunikan tradisi negara ini khususnya dari segi makanan kepada pelanggan, katanya.
“Global Ikhwan akan menyediakan ruang di setiap restoran mereka untuk kita meletakkan logo, bahan bacaan, poster dan risalah berkaitan TMP 2017 dan destinasi menarik di Pahang.
“Kerjasama ini berdasarkan prinsip persefahaman bersama tanpa mengenakan bayaran kepada kerajaan negeri. Ini selaras dengan matlamat mendapatkan sebanyak mungkin promosi pada perbelanjaan minimum,” katanya di sini.
Mohd. Sharkar berkata, pihaknya turut memohon supaya restoran itu dapat mengetengahkan masakan tradisional Pahang seperti sambal hitam dan masak tempoyak kepada pelanggan sebagai tarikan ke negeri ini.
Beliau berkata, sebagai timbal balas kepada kerjasama itu, kerajaan negeri akan membantu mempromosikan restoran milik Global Ikhwan kepada pelancong dan penduduk negeri ini yang akan berkunjung ke luar negara.
“Ini adalah situasi menang-menang. Bayangkan jika kita melantik sebuah syarikat pengiklanan untuk melakukannya, sudah pasti bayaran yang agak besar akan dikenakan untuk perkhidmatan mereka.
“Usaha Global Ikhwan amat dihargai dan sentimen untuk membantu promosi TMP 2017 mungkin disebabkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Ikhwan, Lokman Hakim merupakan anak kelahiran Pahang,” katanya.
Mohd. Sharkar juga berkata, pihaknya akan agresif mempromosikan TMP mulai September ini, termasuk memastikan laman sosial berkaitan dikemas kini supaya pelancong yang membaca risalah TMP 2017 mendapat maklumat tambahan di laman web.
Selain itu, kata beliau, pihaknya juga akan menetapkan petunjuk prestasi utama kepada jabatan dan agensi berkaitan pelancongan bagi mendorong mereka berusaha lebih gigih dalam mempromosikan TMP 2017.
–Bernama/Utusan.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.