Pengarah Bahagian Promosi Domestik Tourism Malaysia, Iskandar Mirza Mohd. Yusof berkata, pihaknya mengadakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bersama Majalah Gaya Travel agar blogger yang dipilih dapat menulis dan memuat naik gambar destinasi menarik di blog mereka untuk mempromosikan pelbagai kawasan pelancongan utama khususnya di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Gaya penulisan blogger yang dibarisi generasi baharu itu dilihat berupaya menarik kedatangan pelancong seperti ke Festival Floria Putrajaya bermula 27 hingga 4 Jun 2016 manakala Magic Of the Night berlangsung hari ini hingga 29 Mei 2016.

“Sepanjang tiga hari ini, blogger tersebut akan dibawa ke tempat-tempat tumpuan pelancong seperti Dataran Merdeka, Muzium Tekstil Negara, Kuala Lumpur City Gallery serta dibawa menaiki bas istimewa Hop-On Hop-Off ke seluruh kota raya Kuala Lumpur,” katanya selepas merasmikan ‘Eat.Travel.Doodle’ Magic Of the Night 2016 di Menara Kuala Lumpur di sini hari ini.

Program ‘Eat.Travel.Doodle’ 2016 yang diadakan kali keenam itu telah menarik minat blogger serta media luar negara seperti Brunei, Indonesia, Filipina serta United Kingdom yang menjadikan Malaysia sebagai satu destinasi pelancongan di Asia Tenggara.

“Kita bersama Majalah Gaya Travel memilih penulis blog yang aktif, mempunyai pengikut yang ramai di laman sosial serta artis yang boleh mencoretkan lukisan ketika mengunjungi destinasi pelancongan sepanjang program berkenaan.

“Tourism Malaysia turut berharap kerjasama ini melibatkan pengamal media tempatan agar turut mempromosikan kawasan menarik, selaras dengan hasrat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia yang menyasarkan kedatangan pelancong seramai 30.5 juta orang pada tahun ini.

“Kita berharap mendapat impak positif daripada program seperti ini dan mengalukan mana-mana agensi untuk bekerjasama dengan Tourism Malaysia bagi mempromosikan kawasan pelancongan di negara ini,” ujarnya.