Shahrul Zaman YAHYA (empat dari kiri) dan Mirza Mohammad Taiyab ( lima dari kanan) dan Pengurus Taman Negeri di Perbadanan Taman Negeri Perak, Iylia Ainuddin (empat dari kanan) bergambar sewaktu meninjau Taman Negeri di Pulau Sembilan, Bagan Datoh, Perak, kelmarin. |
BAGAN DATOH 15 Mei - Kerajaan negeri akan menaik taraf dan menyusun program menarik di Taman Negara Pulau Sembilan dekat sini untuk dipromosikan sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, pulau tidak berpenghuni yang terletak kira-kira 10 kilometer dari sini mampu menjadi tarikan pelancong kerana memiliki keindahan alam semula jadi dan tidak tercemar.
Menurut beliau, memiliki sembilan gugusan pulau iaitu Pulau Agas, Pulau Lalang, Pulau Saga, Pulau Nipis, Pulau Rumbia, Pulau Payong, Pulau Buluh,Pulau Batu Putih dan Pulau Batu Hitam, pulau itu juga disifatkan syurga bagi penggemar penyelam skuba.
Kata beliau, perairan di pulau itu juga terkenal dalam kalangan kaki pancing sebagai lubuk ikan selain ikan lumba-lumba serta penyu.
“Menerusi beberapa pendekatan yang bakal dilaksanakan, Pulau Sembilan akan menjadi tumpuan pelancong, sekaligus menyuntik sumber ekonomi baharu di kawasan ini.
“Kerajaan negeri dengan kerjasama Perbadanan Promosi Pelancongan Malaysia (MTPB) dan Pejabat Taman Negeri mahu Pulau Sembilan diangkat sebagai destinasi pelancongan terkenal di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau ditemui selepas membuat tinjauan di pulau tersebut di sini semalam.
Turut hadir Pengurus Besar Lembaga Promosi Pelancongan, Datuk Mirza Mohammad Taiyab.
Menurut Shahrul Zaman, ketika ini Pulau Sembilan menjadi pilihan dalam kalangan pelancong dari China, Jepun, Britain, Bangladesh dan India.
Beliau berkata, bagi menjamin keindahan Pulau Sembilan sentiasa terkawal, hanya sebanyak 120 pelancong dibenarkan berada di gugusan pulau tersebut pada satu-satu masa.
Kata beliau, sejak Januari lalu, sebanyak 900 pelancong telah berkunjung ke pulau tersebut.
“Pada bulan Ogos depan, pengusaha pelancongan dari seluruh dunia akan berada di negara ini dan mereka diharapkan datang ke Pulau Sembilan untuk melihat sendiri keindahan pulau ini,” katanya.
Sementara itu, Mirza berkata, MTPB tertarik dengan keunikan Pulau Sembilan yang tidak ada di tempat lain.
“MTPB telah membuat persediaan untuk membantu mempromosikan Pulau Sembilan sebagai destinasi rehat yang mampu menggamit ramai pelancong luar,” katanya.
-utusan online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.