Saturday 18 January 2014

Forum Pelancongan ASEAN bantu promosi industri pelancongan

Penenun dari Yayasan Tun Jugah, Dorin Linang (kanan) membantu delegasi yang menyertai Forum Pelancongan ASEAN (ATF) menenun Pua Kumbu di Kuching, Sarawak, semalam. - BERNAMA

KUCHING 17 Jan. - Pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah Forum Pelancongan ASEAN (ATF) yang berlangsung selama lapan hari bermula semalam, menguntungkan negara kerana mampu membantu mempromosikan industri pelancongan tempatan bertepatan dengan sambutan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, ATF 2014 boleh menjadi medium untuk mempromosi sektor pelancongan di Malaysia terutama di Sarawak yang kaya dengan pelbagai budaya.

"Seperti yang kita tahu, Sarawak mempunyai penduduk berbilang kaum dan etnik. Keistimewaan ini menjadikan negeri ini sebagai satu daripada destinasi pelancongan yang harus dilawati di Malaysia. "Penganjuran ATF yang serentak dengan TMM 2014 juga sedikit sebanyak memberi faedah kepada industri pelancongan tempatan untuk berkembang lebih maju," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamed Nazri berkata, Sarawak merupakan antara destinasi pelancongan di Malaysia yang semakin mendapat tempat di kalangan pelancong dari seluruh dunia.

Beliau berkata, Sarawak mencatatkan kemasukan kira-kira empat juta pelancong dengan 2.6 juta daripadanya merupakan pelancong asing pada 2012. Katanya, kemasukan pelancong asing ke Sarawak amat menggalakkan, sekali gus membantu menjana pendapatan negara sehingga RM6.2 bilion.

ATF 2014 yang membuka tirainya di sini semalam, menyaksikan Malaysia dipilih sebagai tuan rumah buat kali keempat dan yang pertama di Sarawak. Forum tahunan ke-33 diadakan itu membabitkan penyertaan 1,600 delegasi dari seluruh dunia termasuk 150 media antarabangsa.

ATF 2014 memfokuskan perbincangan strategi bagi mempromosi ASEAN sebagai destinasi pelancongan terkemuka dunia secara berterusan selain meningkatkan usahasama serantau dalam pelbagai sektor.
-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.