Saturday, 26 November 2011

Pesta Pantai hidupkan kembali Tanjung Bidara

MELAKA 25 Nov. - Pesta Pantai Tanjung Bidara akan diadakan semula pada 9 hingga 11 Disember ini selepas terhenti beberapa tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Ab. Karim Sulaiman berkata, pesta itu dihidupkan semula bagi merancakkan kembali kedatangan pelancong ke Tanjung Bidara. Menurutnya, penganjuran Pesta Pantai Tanjung Bidara itu akan menjadi platform untuk memeriahkan lagi suasana di kawasan pelancongan itu supaya kembali menarik lebih ramai pengunjung.

“Tanjung Bidara mempunyai sebuah pantai yang indah dan menarik cukup sinonim sebagai lokasi perkelahan keluarga sejak dari dahulu lagi. “Cuma kita perlu adakan satu pesta untuk dijadikan sebagai acara tahunan pada setiap hujung tahun bagi menghidupkan kembali suasana keceriaan di sini,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Ab. Karim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Kemudahan Awam negeri berkata, pesta anjuran bersama Malis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) itu akan memperkenalkan kembali Tanjung Biara sebagai destinasi wajib dikunjungi. Menurutnya, pihaknya telah menyediakan lebih 15 acara sepanjang tiga hari pesta itu diadakan di pantai Tanjung Bidara dekat sini dari pukul 8 pagi hingga 10 malam.

Ujarnya, antara acara yang akan diadakan adalah pameran kerjaya Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pameran Pos Malaysia, pertandingan fotografi, sepak takraw terbuka Melaka, karaoke, Battle Of The Band, pertunjukan layang-layang dan Sprint Race 2011.

Selain itu katanya, Larian Pantai, pertandingan perahu layar, Mr. Muscle, pertandingan mewarna kanak-kanak dan konsert RTM. “Acara sukan pantai (turut diadakan) seperti pukul bantal, panjat tiang licin, tarik tali, tangkap itik, bola tampar, bola sepak, bola jaring dan baling buah limau,” katanya.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.