Wednesday, 22 July 2026

Sesi Libat Urus Langkawi Perkukuh Kerjasama Industri Pelancongan Antara MOTAC, Kerajaan Negeri Kedah Dan Penggiat Industri

 

LANGKAWI, 21 Julai 2026 — Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menerusi Tourism Malaysia hari ini menganjurkan Sesi Libat Urus Bersama Penggiat Industri Pelancongan di Aloft by Marriott, Langkawi. Program ini menghimpunkan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), wakil agensi kerajaan, pengusaha hotel, pengendali produk pelancongan, persatuan pelancongan serta penggiat industri bagi memperkukuh kerjasama strategik dan menyelaras usaha pembangunan sektor pelancongan negara.

Program ini telah disempurnakan oleh YB Dato Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, diiringi YBhg. Dato' Shaharuddin Abu Sohot, Ketua Setiausaha MOTAC, dan YBrs. Encik Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim, Ketua Pengarah Tourism Malaysia. Turut hadir YB Dato' Haji Mohd Salleh Saidin, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri Kedah, serta YBhg. Datuk Seri Haji Iskandar bin Datuk Haji Mohd Kaus, Ketua Pegawai Eksekutif LADA. Kira-kira 200 penggiat industri pelancongan dari seluruh Pulau Langkawi turut mengambil bahagian dalam sesi tersebut.

Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan MOTAC dalam memperkukuh hubungan antara sektor awam dan swasta bagi merancakkan pembangunan pelancongan negara. Kerjasama erat bersama-sama kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penggiat industri amat penting dalam memperkasakan promosi destinasi, meningkatkan kualiti produk pelancongan serta memastikan pemeliharaan aset pelancongan secara mampan. Sehubungan itu, sesi libat urus ini menjadi platform strategik untuk bertukar pandangan, mengenal pasti cabaran semasa serta merangka inisiatif baharu yang mampu meningkatkan daya saing Langkawi sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.

-Tourism Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.