Thursday, 16 July 2026

StarCruises, Golden Destinations perkasa Pelabuhan Klang sebagai hab pelayaran serantau

 

KUALA LUMPUR: Kerjasama strategik antara jenama pelayaran StarCruises dan Golden Destinations Group Bhd dijangka memperkukuh kedudukan Pelabuhan Klang sebagai antara hab pelayaran utama di rantau ini. 

Inisiatif memperkasakan ekonomi pelancongan itu direalisasikan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) antara kedua-dua pihak sempena pembukaan rasmi acara CruiseWorld Malaysia 2026 di Kuala Lumpur, hari ini. 

Majlis pemeteraian MOU itu disaksikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Tiong King Sing, yang mencerminkan sokongan kerajaan terhadap usaha memperkukuh industri pelancongan pelayaran negara. 

Turut hadir ialah Presiden StarDream Cruises, Michael Goh dan Pengarah Urusan Golden Destinations Group Bhd, Mita Lim.

Menerusi perjanjian berkenaan, Golden Destinations akan menyewa khas kapal Star Voyager bagi siri lima pelayaran istimewa yang berlepas dari Pelabuhan Klang. 

Kesemua pelayaran sewaan khas itu dijadualkan berlangsung sepanjang musim cuti persekolahan bermula 5 hingga 22 Disember 2026.

Pakej pelayaran berkenaan menawarkan pilihan perjalanan selama dua malam dan tiga malam dengan destinasi utama melibatkan Phuket serta Krabi di Thailand. 

Program sewaan khas itu dilaksanakan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap percutian pelayaran dalam kalangan pelancong tempatan, sekali gus menyokong pertumbuhan sektor pelancongan pelayaran negara. 

Menurut kenyataan media, kerjasama itu menggabungkan kekuatan kedua-dua pihak melalui rangkaian pengedaran perjalanan Golden Destinations yang meluas serta pengalaman pelayaran StarCruises yang kukuh. 

"Dengan menggabungkan rangkaian pengedaran perjalanan Golden Destinations yang meluas bersama pengalaman pelayaran StarCruises yang mantap, kerjasama ini bertujuan menjadikan percutian pelayaran lebih mudah diakses," katanya. 

Akses lebih luas itu menyasarkan penyertaan pelbagai segmen pelanggan termasuk keluarga Malaysia, pelancong santai, kumpulan korporat serta pengembara acara Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE). 

Susulan pengumuman berkenaan, tempahan pelayaran khas kapal Star Voyager kini dibuka menerusi rangkaian rakan kongsi perjalanan dan ejen sah Golden Destinations di seluruh negara. 

Pihak syarikat menggalakkan pelanggan membuat tempahan lebih awal berikutan permintaan dijangka meningkat menjelang musim cuti persekolahan Disember 2026.

-berita harian online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.