KUALA LUMPUR: Batik Air Malaysia dan Institut Jantung Negara (IJN) menjalinkan kerjasama strategik bersama Tourism Malaysia bagi memperkukuh ekosistem pelancongan perubatan negara, khususnya dalam bidang rawatan kardiovaskular.
Kerjasama itu menggabungkan rangkaian penerbangan, kepakaran rawatan jantung IJN serta usaha promosi pelancongan kesihatan negara bagi meningkatkan akses kepada perkhidmatan penjagaan jantung, selain memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pelancongan perubatan serantau.
Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy,
berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen bersama dalam meningkatkan akses
kepada penjagaan kesihatan pencegahan serta kesedaran terhadap kepentingan
pengesanan awal penyakit.
"Malaysia merekodkan kira-kira 1.85 juta pelancong kesihatan pada 2025, menjana hasil sekitar RM3.35 bilion dan melepasi sasaran RM3 bilion yang ditetapkan.
"Perkembangan ini menunjukkan peningkatan keyakinan terhadap ekosistem penjagaan kesihatan Malaysia serta keupayaan negara menyokong pesakit yang mendapatkan rawatan merentasi sempadan," katanya pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Batik Air dan IJN di sini, hari ini.
Menerusi inisiatif berkenaan, penumpang antarabangsa Batik Air layak menikmati diskaun 15 peratus bagi pakej 'Essential Health Screening' IJN menerusi kempen 'Fly High with a Healthy Heart' dengan hanya mengemukakan pas masuk penerbangan Batik Air semasa pendaftaran di IJN.
Pakej saringan kesihatan berkenaan ditawarkan pada harga RM765 selepas diskaun dan bertujuan menggalakkan pengesanan awal risiko penyakit jantung serta membantu individu mengambil langkah proaktif dalam menguruskan kesihatan kardiovaskular.
IJN turut menawarkan diskaun 20 peratus bagi pakej 'Premier Heart Screening' kepada 1,000 penumpang antarabangsa pertama Batik Air.
Pakej yang ditawarkan pada kadar khas RM1,760 selepas diskaun itu merangkumi penilaian kardiovaskular dan vaskular lanjutan, pengimejan abdomen, pemeriksaan makmal tambahan, analisis komposisi badan, kaunseling pemakanan serta konsultasi bersama pakar kardiologi.
Dalam usaha menyokong mobiliti pesakit antarabangsa, Batik Air turut menyediakan diskaun tambang penerbangan sebanyak 10 peratus kepada pesakit antarabangsa yang mendapatkan rawatan di IJN dengan mengemukakan surat temu janji rasmi daripada institusi berkenaan.
Tambah Chandran, pemilihan IJN sebagai rakan strategik dibuat berdasarkan reputasi institusi itu yang bukan sahaja terkenal dalam rawatan jantung, malah mempunyai rangkaian perkhidmatan kesihatan yang lebih luas.
Dalam pada itu, Batik Air juga menyasarkan pasaran yang lebih mudah dicapai terlebih dahulu contohnya Indonesia sebagai pasaran utama bagi memperkukuh segmen pelancongan perubatan Malaysia menerusi kerjasama strategik IJN dan Tourism Malaysia ini.
"Batik Air kini terbang ke 21 negara dan 65 destinasi namun Indonesia menjadi pasaran paling mudah untuk dimulakan berikutan kedudukannya yang dekat dengan Malaysia, selain mempunyai populasi sekitar 280 juta penduduk.
"Selain Indonesia, Batik Air turut melihat potensi pasaran lain seperti Kemboja, Thailand, Bangladesh dan China bagi segmen pelancongan perubatan," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Ezani Md Taib, berkata tanggungjawab IJN bukan hanya tertumpu kepada rawatan penyakit jantung, tetapi turut merangkumi usaha meningkatkan kesedaran terhadap pencegahan, pengesanan awal dan intervensi tepat pada masanya.
"Melalui kerjasama dengan Batik Air, kami berharap dapat menggalakkan lebih ramai pelancong dan masyarakat mengambil langkah proaktif dalam memahami tahap kesihatan jantung mereka.
"Kerjasama itu turut menyokong peranan IJN dalam menyediakan
rawatan khusus kepada pesakit tempatan dan antarabangsa, terutama mereka yang
melakukan perjalanan ke Malaysia bagi mendapatkan rawatan kardiovaskular dan
toraks," katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.