BANGI — Tourism Malaysia telah menamakan BuatSaja Media, platform media di sebalik BuatSaja Podcast, sebagai rakan strategik Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026). Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh promosi pelancongan negara melalui kandungan digital, podcast dan penceritaan inspirasi.
Pengumuman ini dibuat bersempena dengan program yang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi hari ini. Pengumuman ini mencerminkan komitmen VM2026 untuk mendekati khalayak yang lebih luas, khususnya generasi muda, usahawan, komuniti digital dan rakyat Malaysia yang aktif mengikuti kandungan berbentuk pendidikan, inspirasi dan pembangunan diri.
FunnelEvo merupakan sebuah organisasi yang memfokuskan kepada pembangunan bakat, pendidikan, latihan korporat, teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), serta pembangunan media dan kandungan digital berimpak tinggi bagi menyokong pertumbuhan industri kreatif dan keusahawanan digital di Malaysia.
Di bawah ekosistem FunnelEvo, Buatsaja Media diwujudkan sebagai sebuah platform media digital dan podcast yang semakin berpengaruh di Malaysia dengan mencatatkan lebih daripada 130 juta tontonan di pelbagai platform digital. BuatSaja Media memfokuskan pembikinan kandungan digital yang melibatkan perniagaan, keusahawanan, kepimpinan, kewangan, inspirasi dan pembangunan komuniti. Ia melibatkan kisah benar, pengetahuan praktikal, pandangan pakar serta perbualan bermakna yang memberi inspirasi kepada semua lapisan masyarakat.
Antara fokus utama kerjasama ini ialah:
Mengangkat mesej Kempen Melawat Malaysia 2026 melalui kandungan
digital dan podcast yang bertemakan segmen pelancongan sebanyak 12 hingga 24
episod.
Memperkenalkan Malaysia melalui kisah manusia, budaya, makanan,
komuniti dan ekonomi tempatan.
Memanfaatkan kekuatan BuatSaja Media yang telah mencatatkan lebih
daripada 130 juta tontonan di pelbagai platform digital.
Menjadikan penceritaan digital sebagai medium untuk mendekatkan
kempen VM2026 kepada rakyat Malaysia dan penonton serantau.
“Media digital dan penceritaan berupaya menjadi pemangkin dalam usaha merancakkan Kempen Melawat Malaysia 2026 agar terus relevan dan lebih mudah diterima oleh Masyarakat. Kempen Melawat Malaysia 2026 bukan hanya tentang membawa pelawat berkunjung ke Malaysia. Ia juga tentang bagaimana kita memperkenalkan jiwa Malaysia kepada dunia. Melalui kerjasama dengan BuatSaja Media, kita mahu menggunakan kekuatan media digital dan penceritaan untuk menjadikan kempen ini lebih dekat, relevan dan mudah diterima oleh masyarakat,” kata Encik Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim, Ketua Pengarah Tourism Malaysia.
Fahdi Ghazali, Pengerusi FunnelEvo, berkata: “Malaysia bukan sekadar destinasi. Malaysia ialah sebuah cerita yang penuh dengan manusia, budaya, nilai, peluang dan pengalaman. Melalui BuatSaja Media, kami mahu membantu membawa cerita ini dalam bentuk yang lebih dekat, realistik dan bermakna kepada masyarakat hari ini,”.
Kerjasama ini juga selari dengan usaha VM2026 untuk memperkukuh promosi pelancongan melalui kolaborasi rentas industri termasuk media, pendidikan, komuniti, sukan dan keusahawanan. Pendekatan ini membuktikan bahawa promosi pelancongan tidak lagi hanya bergantung pada kempen konvensional, tetapi turut diperluas melalui wadah penerbitan kandungan yang lebih sinonim dengan gaya hidup masyarakat hari ini.
Sebagai rakan media strategik VM2026, BuatSaja Media akan meneroka pelbagai bentuk kandungan, termasuk podcast, kempen media sosial, penceritaan destinasi, kolaborasi bersama tokoh industri serta inisiatif digital yang mampu meningkatkan kesedaran terhadap VM2026 di peringkat nasional dan antarabangsa.
Inisiatif ini dapat terus memperkukuh peranan media digital dalam
membina persepsi, meningkatkan keterlihatan destinasi dan mengangkat kedudukan
Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan menjelang VM2026.
-Tourism Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.