Tuesday 6 February 2024

Serbu Melaka 20 Februari ini, semuanya percuma

 


Ayer Keroh: Orang ramai berpeluang melawat 10 lokasi pelancongan menarik di Melaka secara percuma sempena Sambutan Hari Memperingati Tarikh Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 20 Februari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, selain itu, kerajaan negeri turut memberikan parkir percuma kepada orang ramai yang meletakkan kenderaan di semua kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri itu.

Beliau berkata, kemasukan percuma itu membabitkan perkhidmatan Melaka River Cruise menerusi penyediaan 15 bot di tiga jeti iaitu Jeti Pengkalan Rama, Jeti Taman Rempah dan Jeti Muara.

"ia diikuti Menara Taming Sari (9 pagi hingga 5 petang); 21 muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) (9 pagi hingga 5 petang); Zoo Melaka (10 pagi hingga 5 petang, menggunakan sistem first come first serve'), Balai Cerap Al-Khawarizmi (9 pagi hingga 5 petang);

"Melaka Wonderland & Themepark (6 petang hingga 10 malam); Taman Laut Negeri Melaka (kos aktiviti menyelam sahaja); lima Kelab Golf Negeri Melaka (percuma green fee'); Muzium Penjara Malaysia Melaka (9 pagi hingga 5 petang) dan Malaysia Heritage Studios (10 pagi hingga 6 petang)," katanya di Seri Negeri, di sini tadi.

Turut hadir, EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abd Razak Abd Rahman; Timbalannya, Datuk Zaidi Attan dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Saari Basiron.

Sempena tarikh itu juga, Ab Rauf berkata, satu acara khas bagi memperingati Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu juga akan diadakan di Banda Hilir.

-Harian Metro.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.