Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk
Haslina Abdul Hamid (kiri) diiringi Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara
Tourism Malaysia, Mohd Amin Yahya (kanan) menyerahkan cenderahati kepada
pelancong dari Chengdu, China yang tiba menerusi penerbangan sewa khas di
Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. FOTO HAMZAH OSMAN
Langkawi: Industri pelancongan pulau ini bergerak positif melalui kemasukan lebih 2,000 pelancong dari Chengdu dan Chongqing, China mulai bulan ini menerusi lapan penerbangan sewa khas.
Sebagai
permulaan, penerbangan Batik Air OD611 yang membawa 178 pelancong dari Chengdu
tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) di sini, hari ini, dan
disambut dengan pancuran air.
Lebih
menarik, kumpulan pelancong terbabit kelihatan teruja apabila disambut dengan
perarakan bunga bunga manggar, sirih junjung, paluan gendang pribumi dan
persembahan tarian singa.
Majlis
sambutan itu diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi
(Lada) Datuk Haslina Abdul Hamid dan turut dihadiri Pengarah Kanan Bahagian
Domestik dan Acara Tourism Malaysia Mohd Amin Yahya.
Pada sidang media, Haslina berkata, Lada yakin penerbangan
sewa khas dari Chengdu yang dikenali bandar bersejarah juga pusat perniagaan
dan Chongqing (bandar pergunungan) memberi impak positif kepada Langkawi.
"Kerap
kali, apabila prestasi memberangsangkan, penganjuran penerbangan sewa khas akan
diikuti dengan pengoperasian penerbangan berjadual tetap yang pasti membawa
masuk lebih ramai pelancong ke pulau ini.
"Malah,
pulau ini akan menerima peningkatan pelancong dari Asia Barat, Eropah dan
Afrika pula sebaik syarikat Flydubai memulakan penerbangan terus Dubai-Langkawi
mulai Sabtu ini," katanya.
Haslina
berkata, pihaknya masih meneruskan rundingan untuk bekerjasama dengan sebuah
syarikat pelancongan dari Poland bagi mengadakan sekurang-kurangnya 30
penerbangan terus Poland-Langkawi selama tiga tahun.
"Semua
usaha dan pendekatan yang kita laksanakan ini bertujuan membantu kita mencapai
sasaran kemasukan 3.5 juta pelancong tahun ini dengan purata 250,000 setiap
bulan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.