Pejabat Perdana Menteri (PMO)
melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Kementerian Pertanian dan
Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Kerajaan Negeri Selangor akan menganjurkan
Program MADANI Rakyat Zon Tengah pada 23 hingga 25 Februari 2024 bertempat di
Kompleks Sukan Kuala Selangor, Selangor Darul Ehsan.
Program MADANI Rakyat adalah
kesinambungan daripada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang diadakan di
Stadium Nasional Bukit Jalil pada Disember lalu. Program ini diteruskan ke
peringkat negeri mengikut zon bagi memberi peluang kepada masyarakat setempat
untuk bersama-sama memahami, melihat dan menilai dasar serta inisiatif baharu
yang dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI dalam usaha meningkatkan kesejahteraan
hidup rakyat. Program MADANI Rakyat Zon Tengah merangkumi Negeri Selangor,
Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Program MADANI Rakyat juga
merupakan wadah untuk masyarakat mendapatkan perkhidmatan secara terus daripada
Kementerian kementerian di peringkat Kerajaan Persekutuan dan agensi-agensi
peringkat negeri, di samping memberi peluang kepada masyarakat umum mengemukakan
pandangan dan cadangan untuk menambah baik mutu perkhidmatan. Program seperti
ini juga mewujudkan saluran komunikasi berterusan antara masyarakat dengan
kerajaan, sekali gus memperkukuhkan hubungan dalam usaha membina negara yang
lebih sejahtera selaras dengan agenda Malaysia MADANI.
Program MADANI Rakyat Zon Tengah
memberi tumpuan kepada aktiviti yang berkaitan dengan pertanian dan
keterjaminan makanan, program TVET serta program kesejahteraan rakyat, selain
pelbagai perkhidmatan yang disediakan oleh agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan
Negeri Selangor khususnya. Program ini turut melibatkan kerjasama strategik
syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak
swasta. Selain itu, Jualan Agro dan Mega MADANI yang menawarkan potongan harga
dan tawaran istimewa serta pameran aset- aset kerajaan turut disediakan untuk
pengunjung.
Majlis penutupan Program MADANI
Rakyat Zon Tengah bakal disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri
Anwar bin Ibrahim pada 25 Februari 2024 dan turut dihadiri oleh kepimpinan
tertinggi Kerajaan Persekutuan dan Negeri.
Orang ramai dijemput untuk
bersama-sama hadir memeriahkan Program MADANI Rakyat Zon Tengah pada 23 hingga
25 Februari 2024 bermula 9.00 pagi hingga 10.00 malam.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.