Sunday 11 February 2024

Penerbangan sulung Flydubai ke Langkawi tiba hari ini

 


10 Februari 2024, Alor Setar: Penerbangan sulung Flydubai dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) selamat tiba di Pulau Langkawi, hari ini.

Ketibaan penerbangan kira-kira 4.25 petang itu disambut oleh pengurusan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bersama pihak Tourism Malaysia, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), agensi kerajaan dan pemain industri pelancongan Langkawi.

Ketua Pegawai Eksekutif LADA Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, laluan penerbangan yang ditawarkan syarikat Flydubai ialah dari Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang bagi hentian selama satu jam sebelum ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

"Syarikat berkenaan menggunakan pesawat Boeing 737 MAX bagi laluan ke Malaysia dan penerbangan itu dijadualkan setiap hari. Penambahan penerbangan Flydubai ini menjadikan 185 penerbangan berjadual setiap minggu tiba di Langkawi.

"Pembukaan laluan ini akan memberi manfaat ekonomi kepada penduduk Langkawi dengan kedatangan pelancong dari Asia Barat, Eropah, Afrika dan lain-lain. Ia juga menawarkan pengalaman penerbangan yang selesa kepada para penumpang dari lebih 120 destinasi ke Langkawi melalui hab penerbangan Dubai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata LADA turut menawarkan Program Insentif Penerbangan Sewa Khas yang menjadi satu daripada faktor utama bagi kejayaan sesebuah syarikat penerbangan untuk memulakan penerbangan ke pulau berkenaan.

"Antara yang ditawarkan pada tahun ini ialah Insentif Penerbangan Sulung iaitu syarikat penerbangan baharu yang memulakan laluan baru ke Langkawi dan mengekalkan penerbangan berjadual tersebut bagi tempoh sekurang-kurangnya satu tahun layak mendapat insentif berkenaan.

"Insentif itu mampu menggalakkan lebih banyak syarikat penerbangan untuk memulakan penerbangan berjadual ke Langkawi seterusnya meningkatkan kemudahsampaian ke pulau pelancongan ini melalui laluan udara sekali gus meningkatkan kehadiran pelancong dengan sasaran anggaran tiga juta orang," katanya.

Sementara itu, Haslina berkata LADA telah mula melobi Flydubai bermula pada 2019 sebelum berlakunya pandemik COVID-19.

Perbincangan antara kedua-dua pihak, katanya diteruskan kembali pada November 2022, sebelum syarikat berkenaan menyatakan hasrat untuk memulakan penerbangan berjadual ke Langkawi.

"Pada 21 Sept tahun lalu, syarikat itu (Flydubai) telah membuat pengumuman rasmi berkaitan laluan penerbangan terus berjadual ke Langkawi," katanya.

-Harian Metro.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.