Saturday 24 June 2023

Sultan Terengganu rasmi jambatan ikonik Pulau Poh

 


HULU TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli merasmikan Jambatan Ikonik Pulau Poh, Tasik Kenyir dekat sini, malam tadi. 

Keberangkatan baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan keempat-empat anakanda baginda termasuk Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail.

Turut hadir mengiringi keberangkatan baginda ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab. Rahman.

Perasmian jambatan sepanjang 133 meter yang menelan kos RM150 juta itu  sempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-61 Hari Keputeraan baginda.

Ahmad Samsuri dalam ucapannya berkata, jambatan ikonik Pulau Poh yang bermotifkan kepala bangau itu dibina berkonsepkan kebal tetap melibatkan kos RM150 juta.

Menurutnya, seni bina jambatan sepanjang 133 meter dengan empat lorong dua hala itu merupakan inspirasi daripada reka bentuk hiasan perahu tradisional masyarakat Terengganu dengan kombinasi tradisional dan moden.

Katanya, jambatan yang menjadi penghubung antara Pengkalan Gawi dan Marina Pulau Poh siap dibina pada 24 Oktober 2021.

“Kewujudan jambatan ini akan memberi impak pembangunan ekonomi khususnya kepada rakyat tempatan di sekitar di Tasik Kenyir dan Hulu Terengganu dengan penganjuran pelbagai program serta acara pelancongan di kawasan ini. 

“Kerajaan negeri telah mengenal pasti kawasan-kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan bagi meningkatkan ekonomi setempat,” katanya.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.