Monday 26 June 2023

Syarikat penerbangan Sarawak rancang mulakan destinasi antarabangsa di negara jiran – Menteri Pelancongan Sarawak

 

ABDUL Karim (tengah) berpuas hati dengan sambutan acara Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) di Kampung Budaya Sarawak, Santubong yang berjaya memukau para pengunjung.

KUCHING: Syarikat penerbangan yang akan ditubuhkan kerajaan Sarawak merancang memulakan penerbangan antarabangsanya ke negara jiran seperti Indonesia, Brunei Darussalam dan Singapura, sebelum melebarkan ke destinasi yang lebih jauh.

Perkara tersebut didedahkan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dan meyakinkan kerajaan Sarawak kini giat berusaha ke arah merealisasikan hasrat berkenaan.

“Apabila ia berkembang, ia akan menjadi lebih besar, dan suatu hari nanti ia akan pergi lebih jauh ke negara lain seperti negara Eropah, Australia, Jepun dan Korea.

“Bagaimamanpun bagi permulaan kita akan mulakan penerbangan di Malaysia (Kuala Lumpur, Sarawak dan Sabah), Indonesia, Brunei Darussalam dan Singapura,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan tinjauan ke acara Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) di Kampung Budaya Sarawak, Santubong semalam.

Dalam pada itu Abdul Karim tidak menafikan terdapat kawal selia dalm pengurusan penerbangan di Malaysia yang mana tidak memberikan kelebihan yang positif kepada Sarawak.

“Ia mempunyai satu syarat dasar perlindungan yang memastikan semua penerbangan mesti membuat perhentian di Kuala Lumpur.

“Mereka tidak boleh membawa penumpang terus ke Kuching. Mereka menerima penerbangan luar tetapi perlu berhenti di Kuala Lumpur sebelum meneruskan penerbangan ke Kuching atau mana-mana kawasan lain di Sarawak,” dedah Abdul Karim.

Namun kata beliau kerajaan Sarawak telah mengadakan perbincangan dengan anak-anak syarikat penerbangan Indonesia, iaitu Garuda Indonesia untuk meneliti pembukaan laluan penerbangan baharu membabitkan Jakarta dengan negeri ini.

Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, melalui perbincangan itu, Sarawak berharap untuk memperluaskan lagi aspek ketersambungan negeri Sarawak dan negara Indonesia.

Sementara itu, menyentuh berkenaan sambutan acara RWMF 2023, Abdul Karim berkata ia berjaya menarik kehadiran kira-kira 20,000 pengunjung dari dalam dan luar negara melibatkan lebih 195 buah negara pada tahun ini.

Dedahnya kesemua tiket yang dijual atas talian juga telah habis dijual dan menunjukkan sambutan amat memberangsangkan daripada peminat acara tersebut.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.