Monday 5 June 2023

Perak lihat potensi wujudkan laluan penerbangan Ipoh-Vietnam

 


IPOH: Perak sedang melihat potensi dan meneliti cadangan bagi mewujudkan laluan penerbangan antara bandar raya ini dan Negara Vietnam sebagai usaha merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan Dan Pembangunan Koridor Negeri, Loh Sze Yee berkata, perbincangan ke arah itu perlu mengambil sedikit masa terutama bagi mendapat ‘lampu hijau’ daripada pemain industri pelancongan di Vietnam.

Menurutnya, perbincangan berkenaan laluan tersebut lebih tertumpu kepada penerbangan tambang rendah dan pelancongan bajet kerana Ipoh tidak mempunyai lapangan terbang antarabangsa.

Bagaimanapun, beliau tidak menamakan secara khusus bandar di Vietnam yang terlibat dalam usaha ini kerana ia masih di peringkat awal perbincangan.

“Saya yakin Vietnam juga mempunyai lapangan-lapangan terbang yang sama seperti di Ipoh. Untuk itu, kita sedang melihat potensi ke arah sektor pelancongan antara dua negara ini, yang lebih menjimatkan atau kos rendah.

“Dan dalam perkembangan masa kini juga, kita sudah mempunyai pelbagai jenis penerbangan pelancongan iaitu daripada tahap premium sehingga kepada tambang rendah.

"Dan kita memang sedang melihat ke arah perkara ini agar sektor pelancongan di Perak dapat lebih dimajukan,” katanya sambil menambah, ia juga selari usaha menggalakkan kemasukan pelancong asing ke negeri ini sempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2024.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Makan Malam Lawatan Suai Kenal atau ‘Fam Trip’ Batik Air Vietnam di Taman Tema Lost World Of Tambun, dekat sini, malam tadi.

Acara yang meraikan 30 ejen pelancongan dari Vietnam itu merupakan anjuran bersama Tourism Malaysia Ho Chi Minh City dan Batik Air Vietnam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak Nurmalis Musa; Pegawai Eksekutif Pemasaran Tourism Malaysia Ho Chi Minh, Nguyen Vu Ai Nhu dan Pengurus Jualan Batik Air Vietnam, Do Quang Dinh.

Dalam pada itu, Loh berkata, usaha berkenaan dilihat tidak akan berhasil dalam tempoh masa yang singkat kerana pelbagai faktor perlu diambil kira termasuk respons daripada syarikat-syarikat penerbangan.

“Kita faham, selepas tempoh wabak COVID-19 (pembukaan semula ekonomi), syarikat-syarikat penerbangan ini mempunyai masalah tersendiri sama ada berkaitan dengan kewangan mahupun aset.

“Jadi, mereka memerlukan masa untuk menggerakkan aset-aset sedia ada atau yang lama tersimpan (disebabkan penularan COVID-19). Dan ini juga antara masalah yang dihadapi syarikat penerbangan.

“Justeru, sudah tentu mereka perlu mengambil masa untuk respons (dengan usaha kerajaan negeri ini) dengan mengambil kira keadaan keseluruhan ekonomi sekarang,” tambahnya.

-astro awani.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.