KUALA TERENGGANU: Pelan induk rekreasi pesisir air yang dinamakan Lambaian Bayu bakal menjadi produk pelancongan baharu di bandar raya ini tidak lama lagi.
Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif, berkata, projek bernilai RM200 juta itu merupakan pembangunan pesisir pantai dari Teluk Ketapang, Kuala Nerus sehingga ke Pantai Chendering melibatkan jarak sejauh 16 kilometer.
Menurut beliau, kerja-kerja awal Fasa 1 telah bermula tahun ini membabitkan enam zon iaitu Pesisir Ketapang, Pesisir Takir, Zon Pemecah Ombak, Primula Batu Buruk, Muara Ibai dan Zon Pantai Pandak.
“Antara yang akan diwujudkan di zon berkenaan adalah gelanggang sukan pantai, tapak festival, kedai cenderamata dan kafe, tapak perkhemahan ‘glamping’, tapak karavan, calet dan banyak lagi.
“Projek Lambaian Bayu ini akan menjadi pemacu baharu sektor pelancongan dalam bandar dan dijangka mengambil masa lima tahun untuk direalisasikan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.
Rosli berkata, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan membangunkan projek itu melalui bajet dalaman, bantuan kerajaan negeri dan peruntukan tahunan kerajaan Persekutuan.
Beliau menjelaskan, projek tersebut juga dijangka memberi manfaat dari segi penjanaan pendapatan kepada lebih 500 usahawan tempatan atau golongan B40.
Malah Rosli berkata, perlaksanaan projek Lambaian Bayu selari dengan visi menjadikan Kuala Terengganu sebagai daerah warisan pesisir air yang dinamik, berdaya huni dan mampan.
“Kuala Terengganu satu-satunya ibu negeri yang strategik antara muara sungai dan tepi pantai. Jadi produk ini diharap meningkatkan jumlah pelancong sekaligus merangsang ekonomi setempat.
“MBKT juga mengalu-alukan pelaburan dari pihak yang berminat untuk turut serta membangunkan Lambaian Bayu dan walaupun ianya cabaran besar, kami harus berani melangkah ke depan.
“Bagi pelan Fasa 2 kelak, MBKT berhasrat membangunkan Kampung Losong di pesisir Sungai Terengganu sebagai perkampungan Melayu tradisional secara lebih efektif,” tambah beliau.
-utusan online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.