JOHOR BAHRU, 8 Jun 2023 – Tourism Malaysia dengan kerjasama
Perbadanan Putrajaya harini menganjurkan program ‘Putrajaya Travel Mart’ dengan
mempertemukan pengendali pelancongan dari Putrajaya dengan pembeli berpotensi
dari Johor, Singapura dan Indonesia.
Program
berkonsepkan Business to Business (B2B) itu bertujuan mempromosikan destinasi,
produk serta pakej-pakej pelancongan kepada kira-kira 60 wakil agensi
pelancongan dan industri dari Johor, Singapura dan Batam, Indonesia.
Inisiatif ini
bertujuan merancakkan promosi pelancongan dan menawarkan tarikan-tarikan yang
terbaru di Putrajaya yang meliputi produk ekopelancongan, agropelancongan,
gastronomi dan segmen pelancongan minat khas. Selain itu, program ini turut
diteruskan dengan penganjuran ‘Putrajaya Travel Fair 2023’ yang akan diadakan
di Kompleks Beli Belah Angsana Johor Bahru Mall pada 9 hingga 11 Jun 2023.
Antara
produk-produk pelancongan menarik di Putrajaya adalah seperti kedai coklat
terbesar di Lembah Klang iaitu Souq Shoppe @ Putra Mosque, Putrajaya Story di
Presint 1, Cruise Tasik Putrajaya, Glamping @ Wetland Putrajaya, dan Kompleks
Nasyrul Quran yang merupakan pusat percetakan Al-Qur’an kedua terbesar di
dunia.
Selain itu,
pengunjung juga boleh beriadah di Anjung Floria, dan melawati Taman Ekuestrian
Putrajaya, Taman Wetland, Putrajaya Seafood Restaurant, Taman Cahaya Putra
Perdana & Tangga Putrajaya, Kebun Komuniti Presint 9, 14 & 16, dan yang
terbaru adalah Wetland Studios Putrajaya. Kemudahan bagi mesyuarat, insentif,
persidangan dan pameran (MICE) bertaraf antarabangsa juga seperti Putrajaya International
Convention Centre dan Hotel Pulse Grande dan Hotel Everly Putrajaya juga antara
produk yang ditawarkan.
Dato’ Dr. Ammar
Abd. Ghapar, Ketua Pengarah Tourism Malaysia berkata, penganjuran program
‘Putrajaya Travel Mart’ merupakan salah satu usaha berterusan Tourism Malaysia
dalam meningkatkan kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara ke Putrajaya
selari dengan aspirasi kerajaan untuk terus memperkukuhkan sektor pelancongan
dalam negara.
“Melalui pertemuan
antara pengusaha pelancongan ini, pakej pelancongan dapat ditawarkan kepada
pelancong untuk merasai sendiri pengalaman melawat produk-produk pelancongan
yang unik dan menarik di Putrajaya.
“Sebagai bandar
yang menempatkan pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan bertaraf dunia, promosi
pelancongan Putrajaya harus terus dipertingkatkan selari dengan visi untuk
mencapai ke arah Putrajaya Mampan 2025 dan ‘Global City 2040’,” katanya.
-Tourism Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.