JELI, 12 Jun 2023: Seramai 16 wakil media terdiri daripada agensi media cetak, elektronik dan media baharu menyertai Program Xpresi Cuti-Cuti Malaysia: Kelantan anjuran Tourism Malaysia selama empat hari tiga malam (4H3M) dari 6 hingga 9 Jun 2023.
Edisi kali ini membawa para peserta meneroka produk-produk pelancongan berasaskan alam semula jadi (nature), pengembaraan (adventure) dan pengalaman (experiential) serta budaya tradisi masyarakat tempatan di sekitar beberapa daerah di Kelantan.
Para peserta memulakan pengembaraan di daerah Kota Bharu dengan mempelajari keunikan seni bina Masjid Iktikaf Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Quwwah yang diperbuat oleh 11 jenis kayu hutan.
Di Machang, para peserta melawat Po-land Grape Machang iaitu kebun anggur pertama di Kelantan. Diusahakan oleh En. Nur Taufiq Yusuf, para pengunjung berpeluang menyaksikan lebih daripada 50 jenis tanaman anggur. Kemudian, para peserta bertolak ke Tanah Merah dan mengunjungi Jambatan Guillemard @ Guillemard View, iaitu jambatan kereta api kedua terpanjang (600 meter) di Malaysia, selepas Jambatan Victoria di Perak.
Selain itu, mereka juga berpeluang mendaki Bukit Salor di Jeli sebelum menerokai keindahan semula jadi di daerah itu seperti Lata Kashmir, Lata Turbo, Lata Janggut, Lata Hokkaido dan Air Terjun Mawoo. Pada hari ketiga, para peserta meneruskan pengembaraan dengan menerokai beberapa gua di Gunung Reng. Mereka juga berkesempatan mencuba aktiviti mendulang emas secara tradisional menggunakan dulang yang dipahat daripada banir kayu.
Program turut dimeriahkan dengan kehadiran Datuk Musa Haji Yusof, Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) Tourism Malaysia di Majlis Makan Malam Penutup Program Xpresi Media Cuti-Cuti Malaysia di Restoran Laila Majnu, Lalang’s Resort & Spa. Beliau berkata, program ini diharap dapat mengeratkan jalinan kerjasama bersama pihak media dalam memperkenalkan keunikan negeri Kelantan sekali gus meningkatkan lagi ketibaan pelancong serta menjana ekonomi untuk komuniti tempatan.
“Melihat kepada trend pelancongan terkini, para pelancong lebih cenderung untuk mendekati dan menerokai produk-produk pelancongan yang berunsurkan alam semula jadi, serta mempraktikkan pelancongan lestari atau sustainable tourism,” tambah beliau.
Pada hari terakhir, para peserta didedahkan dengan warisan dan budaya tempatan menerusi lawatan ke Akok Belahat dan Galeri Peranakan Cina Kelantan di daerah Jeli serta Dodol & Serunding Hajah Wan Sabariah di Pasir Mas.
-Tourism Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.