KUALA KANGSAR: Sebanyak 10 negeri termasuk Perak yang menampilkan juadah laksa dari negeri masing-masing menyertai Pesta Laksa Kuale selama dua hari di sini yang bermula kelmarin.
Pengerusi Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, program itu berjaya menarik kira-kira 10,000 pengunjung yang mengambil peluang merasai laksa yang berbeza dari sembilan negeri terbabit.
“Pesta Laksa Kuale ini bakal menjadi acara tahunan kerana ia mampu menarik kehadiran lebih ramai pelancong ke negeri terutama Tahun Melawat Perak 2024.
“Ini merupakan langkah-langkah permulaan kita dalam memajukan industri pelancongan negeri terutamanya di daerah Kuala Kangsar,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Pesta Laksa Kuale di sini.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Idris Shah di Arena Kuala Kangsar di sini.
Menurut Sze Yee, dalam pesta itu, selain menikmati pelbagai juadah, secara tidak langsung, ia dapat merapatkan ikatan silaturahim dan menambah kenalan dari pelbagai negeri seperti Selangor, Sarawak dan sebagainya.
Menurutnya, pesta seperti itu jika dilaksanakan secara besar-besaran dapat memberi impak yang besar kepada pengusaha sekaligus menjana pendapatan mereka.
Sementara itu, bagi peniaga laksa Sarawak, Jamaiyah Sulaiman, 55, Pesta Laksa Kuale ini dapat menjadi satu platform bagi peniaga memperkenalkan juadah laksa dari negerinya.
“Resepi laksa yang kami bawa terbang dari Sarawak ini merupakan resepi turun temurun dan tidak sangka mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari penggemar laksa di daerah ini,” katanya.
Pengunjung, Nazira Hasanah Nasaruddin, 25, berkata, bagi penggemar laksa sepertinya, dalam pesta kali ini dia dapat mencuba pelbagai juadah laksa dari negeri lain yang jarang ditemui.
“Laksa di Perak ini mempunyai pelbagai jenis namun laksa kuale mempunyai kelainannya yang tersendiri kerana diperbuat daripada tepung gandum.
“Tahun lepas, ada juga pesta laksa tetapi pertandingan makan laksa kuale tetapi kali ini melibatkan negeri lain seperti laksa Sarawak, laksa jawa dan lain-lain,” katanya.
-utusan online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.