Sunday 18 June 2023

500 lepasan SPM jadi duta pelancongan Melaka

 


ALOR GAJAH – Kerajaan negeri akan melantik seramai 500 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menjadi duta pelancongan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) tahun hadapan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, kumpulan itu yang dipanggil Volunteer Melaka akan bertindak sebagai penyampai maklumat kepada para pelancong mengenai nilai sejarah dan budaya negeri ini.

Ujarnya, kesemua mereka yang terlibat akan diberikan latihan dan kursus diperlukan sebelum ditempatkan di kawasan-kawasan utama pelancongan.

“Dalam sektor pelancongan kita akan ambil anak-anak lepasan SPM seramai 500 orang dan berikan mereka penerangan, mengenali (sejarah) Melaka.

“Kumpulan ini akan dilantik menjadi duta di kawasan-kawasan utama pelancong, di mana mereka akan memberi penerangan ringkas kepada pelancong yang datang mengenai sejarah dan budaya Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan butik konsep Coach Airways pertama di dunia di dalam pesawat Boeing 747 di Freeport A’ Famosa Outlet (FAO), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau memberitahu, usaha itu merupakan salah satu strategi kerajaan negeri dalam menambah baik elemen pelancongan sedia ada.

“Kita akan mula melatih sukarelawan itu pada awal minggu minggu ini, selain mendalami nilai sejarah mereka juga diberikan pendedahan mengenai (sektor) pelancongan dan cara meraikan pelancong yang datang.

“Dengan pelbagai usaha dan produk pelancongan yang dilaksanakan, kita menjangkakan nilai pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri juga akan meningkat sebanyak dua peratus,” katanya.

-kosmo online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.