PETALING JAYA, 10 Jun 2023 - Program
pameran dan jualan Jerayawara Jom Cuti- Cuti Malaysia (JCCM) 2023 yang
berlangsung selama tiga hari di 1 Utama Shopping Centre bermula semalam,
menawarkan lebih 100 pakej pelancongan pada tawaran diskaun antara 15 sehingga
50 peratus.
Antara pakej yang disasarkan bakal
menarik minat pengunjung ialah Pakej Eksplorasi 8 Pulau di Semporna, Pakej Jelajah
Kota Kinabalu dan Kundasang, Pakej Kereta Api ke Dabong, Pakej Glamping di
Lenggong, Pakej Berbulan Madu & Candlelight Dinner di Langkawi, Pakej
Percutian di Gunung Jerai, Pakej Cuti-Cuti Cikgu, Pakej Pelancongan Durian dan
Pakej Minat Khas Sempena Sambutan Ulang Tahun ke-50 Tourism Malaysia.
Dato’ Dr. Ammar Abd. Ghapar, Ketua
Pengarah Tourism Malaysia berkata, penganjuran JCCM 2023 yang memasuki siri
ketiganya pada tahun ini, antara lain bertujuan merancakkan lagi aktiviti
pelancongan domestik menerusi penjualan pakej pelancongan secara terus kepada
pengguna.
“Selain menggalakkan rakyat Malaysia
untuk merancang percutian di dalam negara, kita juga mahu membantu meningkatkan
ekonomi penggiat industri tempatan. Oleh itu, sebanyak 40 penggiat industri terdiri
daripada agensi dan pemilik produk pelancongan, hotel serta taman tema
mengambil bahagian pada kali ini.
“Tawaran ekslusif kepada para
pengunjung melibatkan potongan diskaun pakej pelancongan “value for money”
hanya boleh diperoleh dalam tempoh tiga hari sepanjang jerayawara ini
berlangsung di sini,” katanya.
Tourism Malaysia dengan kerjasama
Tourism Melaka turut menyediakan Pusat Informasi Pelancongan Bergerak (TIC
Mobile) di pusat beli-belah berkenaan bagi mempromosikan pelancongan negeri
Melaka sempena penganjuran Tahun Melawat Melaka 2024.
JCCM 2023 yang dilancarkan pada 25
Februari lalu di the Curve Mutiara Damansara, telah memulakan siri jelajahnya
di AEON Mall Nilai, Negeri Sembilan pada 26-28 Mei 2023. Jerayawara ini akan
diteruskan ke lima lagi lokasi di seluruh negara iaitu di AEON Mall Kinta City
pada 14-16 Julai diikuti oleh AEON Mall Shah Alam (25-27 Ogos), Sunway Carnival
Mall (29 September - 1 Oktober), Sunway Pyramid (27-29 Oktober) dan AEON Mall
Bandaraya Melaka (10-12 November).
Selain daripada pameran dan jualan
pakej pelancongan, JCCM 2023 turut menyajikan persembahan tarian kebudayaan,
demonstrasi kraftangan, pertunjukan roti canai terbang, kuiz pelancongan serta
cabutan bertuah kepada pengunjung yang hadir.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.