Sunday, 2 April 2017

Tarik pelancong Asia Tengah

Zainol Mohd. Isa (dua dari kanan) bersama Ulungbek Yunusov (tiga dari kiri)
memotong kek sempena pesawat baharu Uzbekistan,
di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, semalam.


SEPANG 31 Mac – Pengenalan pesawat Boeing 787-8 Dreamliner oleh Uzbekistan Airways untuk laluan Tashkent-Kuala Lumpur hari ini bakal melonjakkan kemasukan pelancong dari Asia Tengah ke negara ini.
Pengurus Besar Kanan Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd., Zainol Mohd. Isa berkata, penggunaan pesawat baharu itu turut akan memberi manfaat kepada kerjasama ekonomi Malaysia-Uzbekistan serta memperkembangkan hu­bungan kebudayaan dan kemanusiaan kedua-dua negara.
“Malaysia pertama kali menerima kemasukan Uzbekis­tan Airways adalah di Lapa­ngan Terbang Subang pada 1992 bagi laluan Tashkent-Kuala Lumpur. Kini sudah 25 tahun kita menjalankan hubungan perniagaan ini dan hubungan tersebut kian meningkat.

“Malah, pada tahun lalu kita menyaksikan peningkatan sebanyak 3.5 peratus pergerakan trafik penumpang dari Asia Tengah ke KLIA,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan pesawat baharu Uzbekistan, Boeing 787-8 Dreamliner laluan Tashkent-Kuala Lumpur di sini hari ini.
Yang turut hadir, Kaunselor Hal Ehwal Perdagangan dan Ekonomi Kedutaan Republik Uzbekistan, Ulungbek Yunusov.
Pesawat Boeing 787-8 Dreamliner milik Uzbekistan Airways mampu memuatkan sebanyak 246 penumpang dan akan berkhidmat pada laluan Tashkent-Kuala Lumpur sebanyak dua kali seminggu.
Dalam pada itu, Zainol berkata, pada permulaan bulan ini, sebanyak dua syarikat pe­nerbangan telah memasuki KLIA iaitu Cathay Dragon Airlines dari Hong Kong dan US-Bangla Airlines dari Bangladesh.
Katanya, MAHB berharap lebih banyak syarikat penerbangan beroperasi di KLIA dan mempertingkatkan perkhidmatan mereka ke Kuala Lumpur.
“Sasaran kita adalah untuk menjadikan KLIA sebagai hab pilihan ASEAN yang menawarkan sambungan terbaik kepada penumpang serta memberi mereka pengalaman perjalanan yang lancar.
“Ke arah itu, kita akan te­rus komited dalam membina hubungan yang erat dengan syarikat-syarikat penerbangan dalam usaha menyokong pertumbuhan mereka,” katanya.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.