Thursday, 27 April 2017

PNBC labur RM65 juta bina Lanjut Beach & Golf Resort

Raja Nazirin Raja Mohamad (dua dari kanan) dan kakitangan PNBC
 menunjukkan risalah mengenai Lanjut Beach & Golf Resort
di Minggu Saham Amanah Malaysia 2017 di Dataran Temerloh, Pahang, semalam.


TEMERLOH 25 April – PNB Co­mercial Sdn. Bhd. (PNBC) yakin pembinaan pusat peranginan baharu, Lanjut Beach & Golf Resort bernilai RM65 juta di Rompin dekat sini, memberi sumbangan signifikan kepada pendapatannya.

Ketua Pegawai Operasi PNBC, Raja Nazirin Shah Raja Mohamad berkata, pembinaan pusat peranginan lima bintang dengan 196 bilik itu dijangka mampu menyum­bangkan pendapatan ki­ra-kira RM1 juta sebulan.

“Pada masa ini kita berjaya merekodkan tempahan seba­nyak RM1 juta bagi Ogos sahaja termasuk 500 tempahan daripada pelancong China.

“Menerusi pelbagai tarikan dan penginapan bertaraf lima bintang, kita menyasarkan perolehan sebanyak RM5 juta mampu dicapai menjelang hujung tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar di gerai pameran PNBC sempena pameran Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2017 di Dataran Temerloh di sini, semalam.

Menurut Raja Nazirin Shah, Lanjut Beach & Golf Resort me­rupakan aset ketiga dimiliki PNBC selain Hotel Sri Petaling dan Lanjut Beach & Golf Resort lama yang beroperasi sejak 30 tahun lalu.

Katanya, pembinaan pusat peranginan baharu berkenaan yang terletak berhampiran Lanjut Beach & Golf Resort lama siap 95 peratus pada masa ini.

“Pembinaannya yang bermula pada 2014 berjalan lancar dan dijangka boleh beroperasi pada Ogos tahun ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sempena MSAM 2017, PNBC menawarkan harga promosi istimewa untuk penginapan di pusat peranginan itu.

Katanya, promosi pada harga serendah RM170 semalam berbanding harga biasa RM250 itu dibuka kepada semua pengunjung MSAM 2017 yang boleh datang terus ke gerai pameran PNBC untuk membuat tempahan.

“Promosi yang ditawarkan adalah bilik superior atau chalet untuk dua hari satu malam dan sarapan pagi untuk dua orang di Lanjut Beach & Golf Resort, Kuala Rompin.

“Di samping itu, promosi juga menawarkan aktiviti rekreasi yang mana para pengunjung boleh memilih menaiki basikal atau bermain ‘wood ball’ bagi dua orang,” katanya.

Lanjut Beach & Golf Resort dimiliki sepenuhnya oleh PNBC yang merupakan anak syarikat Permodalan Nasional Berhad (PNB).

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.