KUCHING 22 Nov. - Penggiat industri pelancongan di negeri ini digesa lebih kreatif dan proaktif dalam mempromosikan produk pelancongan sedia ada dalam usaha meningkatkan kedatangan pelancong ke Sarawak. Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam berkata, usaha itu perlu memandangkan jumlah pelancong yang datang ke negeri ini menurun sebanyak 1.5 peratus bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini iaitu 2,063,240 jika dibandingkan dengan tempoh yang sama tahun lalu.
Katanya, walaupun jumlah kedatangan pelancong pada Oktober mencatatkan peningkatan sebanyak 1.39 peratus, penggiat industri harus merasa bimbang dengan trend itu. Katanya lagi, ini kerana, peratusan itu amat kecil jika dibandingkan dengan prestasi sektor pelancongan peringkat nasional yang mencatatkan peningkatan sebanyak 5.2 peratus dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini iaitu 16.18 juta pelancong. ''Saya agak malu melihat situasi seumpama ini kerana kita (Sarawak) juga mempunyai kemudahan berkualiti sama seperti tempat pelancongan lain. ''Justeru, penggiat industri ini (pelancongan) perlu lebih proaktif dan agresif dalam mempromosi acara atau produk pelancongan dalam usaha kita menarik lebih ramai pelawat datang kembali ke negeri ini," katanya di sini hari ini.
Beliau berucap merasmikan Persidangan Transformasi Prestasi Pelancongan Sarawak yang turut dihadiri Menteri Muda Pelancongan dan Warisan, Datuk Talib Zulpilip dan Mong Dagang serta Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan dan Warisan, Datu Ik Pahon Joyik. Hong Nam yang juga Menteri Pelancongan dan Warisan Sarawak meminta operator pelancong di negeri ini untuk menambah nilai mutu perkhidmatan serta pakej pelancongan yang disediakan agar ia lebih menarik, komprehensif dan kompetitif. Ujar beliau, pelancong asing majoritinya amat menyukai kelainan pakej pelancongan yang akan membuatkan mereka berasa santai dan puas hati, bukannya melihat kepada faktor kos perkhidmatan.
''Oleh itu, para pemandu pelancong perlu memperlengkapkan diri dengan ilmu dan panduan berhubung kepelbagaian aset kekayaan dan keunikan produk pelancongan di negeri ini sebelum diterjemahkan kepada para pelancong. ''Ini kerana saya percaya bukan semua pelancong inginkan pakej pelancongan yang murah tetapi mereka sebenarnya ingin mencari kelainan dan pengalaman yang sukar untuk dilupakan," katanya. Sementara itu, Hong Nam menambah, kementeriannya akan melancarkan 'MICE One-Stop Shop' dalam usaha meningkatkan perkembangan sektor pelancongan Sarawak dengan lebih pantas.
-Utusan Online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.