Tuesday, 23 November 2010

Kedatangan pelancong ke Sabah meningkat

KOTA KINABALU 22 Nov. - Seramai 585,828 pelancong asing mengunjungi Sabah sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini iaitu peningkatan sebanyak 33.1 peratus berbanding 440,109 pelancong bagi tempoh sama tahun lalu. Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, kerajaan negeri mensasarkan kehadiran 600,000 pelancong asing tahun ini dan yakin ia mampu dicapai.
"Kementerian sudah meningkatkan aksesibiliti udara bagi mengembangkan lagi sektor perlancongan di negeri ini termasuk mempertingkatkan usaha menggalakkan syarikat penerbangan mengadakan penerbangan terus berikutan lebih 90 peratus kedatangan pelancong adalah melalui udara.

"Hasilnya, Sabah kini mempunyai 112 penerbangan terus antarabangsa seminggu dari 12 destinasi beberapa bandar raya di Brunei, Hong Kong, China, Japan, Filipina, Singapura, Korea Selatan dan Taiwan," katanya pada sesi soal jawab sempena persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Liew Teck Chan (BN-Likas) mengenai jumlah kedatangan pelancong sepanjang tahun ini dan langkah diambil untuk menarik lebih ramai kehadiran pelawat pada tahun hadapan. Menurut Masidi, kerajaan negeri juga mengalu-alukan langkah Penerbangan Malaysia (MAS) yang menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sebagai Hab Timur syarikat penerbangan utama negara itu.

"MAS mengumumkan akan mempertingkatkan jaringan udara bagi laluan antara bandar sedia ada seperti Taipei, Kaoshiung, Hong Kong, Seoul dan Osaka. Tindakan ini secara tidak langsung meningkatkan kehadiran pelancong ke negeri ini. "Malah, kekerapan penerbangan ke bandar raya ini meningkat daripada 112 kepada 121 penerbangan menjelang Jun tahun hadapan," katanya. Beliau menambah, kerja menaik taraf KKIA berjalan seperti dirancang dan berpotensi menjadi lokasi tumpuan apabila siap sepenuhnya tahun depan. Masidi berkata, selain meningkatkan aksesibiliti udara, kerajaan negeri melalui Lembaga Pelancongan Sabah (STB) akan meningkatkan lagi penyertaan dalam misi jualan, pameran pelancongan, seminar, roadshow di dalam dan luar negara. ''Antaranya menyertai Ekspo Pelancongan IMEX 2011 di Jerman yang dijangka mampu memantapkan strategi menarik kehadiran pelancong," katanya.
-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.