Friday, 5 November 2010

Juadah Baba Nyonya di Hotel Naza Talyya


JOHOR BAHRU 4 Nov. - Bagi penggemar atau mereka yang mahu mencuba masakan Baba Nyonya, anda tidak perlu lagi pergi jauh ke negeri itu kerana Hotel Naza Talyya di sini menyediakan beraneka juadah Melaka sempena Promosi Rasa Melaka mulai 2 hingga 21 November ini. Sepanjang tempoh itu, Pegawai Kanan Pentadbiran hotel itu, Azmah Azali berkata, pelbagai juadah terkenal masyarakat itu seperti ayam asam pedas buah keluak, ketam berempah, asam pedas ekor, nasi kemuli, daging sumur dan sebagainya boleh didapati di hotel tersebut.

"Paling istimewa ialah asam pedas buah keluak kerana ia adalah juadah kegemaran Baba Nyonya dan buah tersebut didatangkan khas dari Indonesia," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran promosi itu di sini, kelmarin. Beliau berkata, sepanjang promosi tersebut, seorang pelanggan dikenakan harga RM46 bagi dewasa dan RM23 bagi kanak-kanak bagi makan tengah hari dan malam. Selain itu, katanya, pelanggan yang ulang tahun tarikh kelahirannya jatuh pada tarikh promosi tersebut berpeluang menikmati juadah secara percuma manakala seorang pelanggan akan menikmati makanan percuma jika datang bersama sekumpulan tujuh pelanggan.

Chef berpengalaman yang didatangkan khusus untuk menyediakan juadah tersebut, Augustine Nonis, 64, berkata, setiap hari menu akan berubah-ubah bagi memastikan pelanggan berpeluang menikmati pelbagai masakan Baba Nyonya. "Masakan Baba Nyonya dan Peranakan Melaka memang banyak yang sedap dan istimewa, jadi kami akan menghidangkan menu yang berlainan setiap hari agar juadah-juadah itu boleh dirasai oleh pelanggan," katanya. Menurut beliau, setiap hari lebih 10 menu akan disediakan secara bufet bersama pelbagai juadah sampingan seperti beraneka kuih-muih, cendol Melaka, acar cili, mangga dan ikan, buah-buahan, ais batu campur istimewa dan sebagainya.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.