MELAKA 21 Nov. - Lebih setengah juta pelancong telah menaiki produk pelancongan sungai, bot Melaka River Cruise (MRC) sepanjang 11 bulan pertama tahun ini. Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Baharom Majid berkata, MRC telah menerima seramai 574,033 pelancong dari dalam dan luar negara bermula Januari hingga November lalu berbanding 422,193 dalam tempoh sama tahun lalu. Menurut beliau, angka penjualan tiket itu menunjukkan peningkatan sebanyak 151,840 pengunjung berbanding tempoh sama tahun lalu.
"Tahun lalu dari Januari hingga November, MRC merekodkan sebanyak 422,193 pengunjung telah menaiki bot ini dengan kunjungan paling tinggi pada bulan Jun sebanyak 67,659 orang dan November paling sedikit iaitu 11,376 pelancong. "Pada tahun ini pula, kunjungan pada bulan Jun melonjak kepada 87,616 orang manakala November seramai 29,714 orang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Tanpa mendedahkan jumlah kutipan yang diperolehi pada kedua-dua tahun itu, Baharom berkata, harga tiket yang dikenakan bagi setiap dewasa adalah RM10 dan kanak-kanak RM5 sejak 16 Januari tahun lalu.
Sebelum ini, MRC yang mula diperkenalkan pada 2005 mengenakan tiket berharga RM5 bagi setiap dewasa dan RM2 bagi setiap kanak-kanak sebelum harga tiket dinaikkan bermula Januari tahun lalu. Mengulas mengenai sasaran jualan tiket pada musim cuti persekolahan Disember ini, Baharom berkata, pihaknya menjangkakan antara 2,000 dan 5,000 pengunjung sehari. "Musim cuti sekolah ini kita jangka dapat jual sehingga 3,000 keping tiket sehari pada hari bekerja manakala sehingga 5,000 tiket pada hujung minggu. "Kita akan menyediakan 38 buah bot yang boleh memuatkan 40 orang setiap bot termasuk empat bot VIP yang boleh memuatkan 20 orang setiap bot," tambahnya.
-Utusan Online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.